JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
YAYASAN MARGMA PERKUKUHKAN PROGRAM PENDIDIKAN PASCA
PANDEMIK DEMI MASA DEPAN PELAJAR


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) kepada Pertubuhan Harapan Indah Ampang Selangor di Hotel Grand Barakah, Ampang.


2. Penyerahan sumbangan ini adalah antara tanggungjawab sosial (CSR) Yayasan MARGMA bagi menyokong pelaksanaan Program Seminar Pendidikan Pasca Pandemik, yang dijalankan khusus untuk Ahli Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) bagi 19 buah sekolah terpilih.


3. Program ini bertujuan untuk mengetengahkan peranan ibu bapa dan guru dalam mendepani kesan pandemik khususnya kepada sistem pendidikan serta kesihatan mental pelajar. Selain itu, seminar ini juga akan menyentuh topik pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan akan dikendalikan pakar-pakar bertauliah dalam bidang pendidikan dan psikologi.

4. Tema dipilih dalam program ini adalah “Ke Arah Kecemerlangan Sistem Pendidikan dan Kesejahteraan Mental Pelajar”, yang bermatlamat membantu ibu bapa dan guru mendalami pendidikan STEM, seiring dengan keperluan revolusi industri 4.0. Bahkan, program ini juga diyakini dapat membantu ibu bapa dan guru mendalami anjakan corak pengajaran dan pembelajaran terkini.


5. Program ini dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 16 Mei 2022 hingga 31 Oktober 2022, dengan menyasarkan keseluruhan penyertaan adalah seramai 760 orang peserta, yang terdiri daripada ibu bapa dan guru-guru.


6. Kementerian melalui agensi di bawahnya akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan negara bangkit daripada impak Covid-19 yang telah melanda negara sejak dua tahun lalu.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 APRIL 2022