JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMAMPANAN HASIL AGRIKOMODITI NEGARA TERJAMIN
DENGAN DASAR AGRIKOMODITI NEGARA 2021-2030 (DAKN 2030)


1. Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020-2021 menyaksikan situasi di luar jangkaan apabila pertumbuhan pesat
keluaran agrikomoditi negara menunjukkan peningkatan keseluruhan sebanyak 64 peratus berbanding tempoh prapandemik 2018-2019.


2. Walaupun negara berhadapan pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia kekal kukuh, malah mencatatkan pertumbuhan pesat sepanjang
tempoh empat tahun daripada RM127.9 bilion pada 2018 kepada RM128.5 bilion (2019) dan meningkat kepada RM151.3 bilion (2020) serta RM209.6 bilion (2021).


3. Untuk mengekalkan potensi dan pertumbuhan industri agrikomoditi Malaysia, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) telah dilancarkan pada bulan Mac 2020 untuk terus
memacu perkembangan sektor agrikomoditi negara di landasan yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran. Hal ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam era pasca COVID-19.


4. Intipati DAKN 2030 adalah bertunjangkan lima teras utama, iaitu
(i) kemampanan;

(ii) produktiviti;

(iii) ciptaan bernilai tambah;

(iv)pembangunan pasaran; dan

(v) keterangkuman.


5. Berikut adalah enam produk agrikomoditi yang memperoleh manfaat secara langsung daripada pelaksanaan DAKN 2030;
(i) Minyak sawit: Usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan stok simpanan melalui pengecualian duti eksport untuk minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung sawit proses (RBDPKO) kepada syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria permohonan. Hasilnya, harga minyak sawit mentah (CPO) kembali stabil dan pada masa
yang sama harganya menunjukkan trend peningkatan dari tempoh Jun 2020 sehingga kini. Selaras dengan usaha ini, Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dilaksanakan untuk memperkukuh kemampanan dan kualiti minyak sawit negara serta menerusi usaha mempererat kerjasama strategik dengan Indonesia melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).


(ii) Getah: Terdapat perancangan untuk memperluaskan penggunaan getah di Malaysia sebagai bahan bagi pembinaan jalan raya, selain pengeluaran produk-produk baharu berasaskan
getah yang ada nilai tambah seperti alat penahan getaran/gempa seismic bearing, sarung tangan dan pelbagai lagi. Pada masa yang sama, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia seperti Thailand dan Indonesia di bawah rangka kerja Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) untuk memperkukuh dan memperkuatkan harga pasaran getah dunia.


(iii) Kayu-kayan: Malaysia akan terus memperluaskan penyertaan dalam pameran-pameran pembinaan, perabot dan kayu-kayan antarabangsa bagi mempromosi dan mendorong permintaan untuk produk kayu-kayan negara dan meningkatkan rantaian hubungan serta peluang perniagaan di negara-negara berkaitan. Pada masa yang sama, negara juga merancang meningkatkan kerjasama di antara agensi-agensi terlibat seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) bagi menggalakkan industri perkayuan memperluas akses dalam pasaran digital melalui penyertaan dalam pameran secara maya, selain menggalakkan usaha pemasaran
melalui platform-platform digital, antaranya seperti AliBaba dan MineBizs.


(iv) Koko: DAKN 2030 melaksanakan Program Khidmat Sokongan Pemasaran Domestik (KSPD) bagi membantu pekebunpekebun koko memasarkan hasil kebun mereka dengan tawaran
harga pembelian yang munasabah, seterusnya mengurangkan peranan orang tengah yang biasanya menawarkan harga tidak berdaya saing. Sebagai tambahan, usaha-usaha akan
dilaksanakan bagi aktiviti-aktiviti promosi secara virtual, malah pihak industri juga sudah menyertai beberapa program pameran secara maya ini melalui sesi webminar, pembentangan secara
zoom, sesi chat secara langsung (live chat) dan platform pemadanan bisnes secara dalam talian.


(v) Lada: Antara usaha yang dilihat berpotensi adalah menjual secara terus hasil lada negara dan produk berkaitan dengannya ke pasaran khusus atau ‘niche market‘ bagi meningkatkan daya saing industri lada negara. Ini melibatkan pengeluaran produk-produk lada dengan nilai tambah seperti lada yang disteril (steriled pepper) atau Mikrokleen dan serbuk lada
untuk pasaran yang mengambil berat aspek keselamatan dan kualiti makanan, selain produk-produk khusus peringkat ladang (‘farmlevel specialty’) seperti lada putih berkrim (LPK). Sehingga kini, Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah berjaya menembusi pasaran produk lada bernilai tambah dan pasaran khusus lada, antaranya di Jepun, Sweden, Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Sepanyol dan Polinesia.


(vi) Kenaf: Perancangan awal adalah untuk memperkenalkan ladang-ladang kluster dengan keluasan antara 20 hingga 50 hektar bagi menggantikan ladang-ladang berskala kecil
kurang ekonomik yang diusahakan oleh pekebun kenaf sedia ada. Sebagai tambahan, tumpuan juga diberikan untuk membangunkan Pusat Penyelidikan, Teknologi Inovasi dan Inkubasi Perusahaan Kecil atau ‘Center for Research, Innovation Technology and Incubation Of Small Enterprises ’ (RINTIS) bagi melahirkan usahawan aktiviti pemprosesan serat premium selain meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenaf di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.


6. Kementerian komited untuk terus membawa sektor agrikomoditi negara ke satu tahap yang lebih baik agar pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan terus mencatatkan prestasi
cemerlang meskipun berdepan cabaran inflasi yang diramal berlaku pada tahun 2023. DAKN 2030 menjadi garis panduan yang jelas bagi memaksimumkan potensi ekonomi kitaran menerusi biojisim agrikomoditi yang diyakini menjadi benteng memperkasa kedudukan sektor agrikomoditi sebagai nadi pemulihan ekonomi Malaysia.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 SEPTEMBER 2022