JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KPPK TERUS PERKASA USAHA KERAJAAN DALAM FASA PEMULIHAN
EKONOMI NEGARA PASCA COVID-19

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya, Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) hari ini meraikan 350 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas. Selain itu, 17 buah surau serta dua (2) buah masjid di sekitar Ampang turut menerima bantuan dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Bandar Baru Ampang.


2. Hadir sama dalam majlis berbuka berkenaan adalah Pengerusi MTC, Puan Hajah Norrida Yusoff bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MTC Encik Muhtar Suhaili dan Pengerusi Masjid Bandar Baru Ampang Tuan Haji Zainal Abidin Pilus.


3. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berserta wang tunai kepada 350 buah keluarga tersebut. Sumbangan wang tunai turut diserahkan kepada 17 buah surau dan dua (2) buah masjid yang terlibat dalam usaha menyokong aktiviti yang dilakukan selepas lebih dua tahun penularan wabak Covid-19.


4. Program seumpama ini bukanlah program julung kali diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan dari semasa ke semasa. Bahkan, MTC sendiri telah diberi pengiktirafan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang cemerlang, menerusi Anugerah Majlis Kerajaan Terbaik Untuk Sokongan Komuniti Cemerlang pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021.


5. Kementerian menerusi agensi dan majlis dibawahnya akan terus mendekati masyarakat terutamanya yang melibatkan pekebun kecil. Peluang dan kesempatan ini juga dapat digunakan untuk menjelaskan mengenai sumbangan sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf dalam fasa pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 APRIL 2022