JATA LATES

SIARAN MEDIA
WORLD BAMBOO DAY (WBD) MALAYSIA 2022:
BULUH SUMBER BAHAN MENTAH ALTERNATIF INDUSTRI
PERKAYUAN NEGARA


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah menyempurnakan Sambutan Hari Buluh Sedunia (World Bamboo Day) peringkat Malaysia 2022, kali ke-11 sejak tahun 2012. Sambutan ini dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
bertempat di Auditorium FRIM, Kepong.


2. Objektif sambutan WBD ini adalah seperti berikut:-
i) Meningkatkan kesedaran penggunaan buluh di peringkat global;
ii) Untuk melindungi sumber semulajadi dan alam sekitar;
iii) Untuk memastikan penggunaan buluh secara mampan; dan
iv) Untuk menggalakkan perladangan buluh sebagai satu industri baru


3. Pada tahun 2021, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM22.7 bilion kepada pendapatan eksport negara. Ini merupakan peningkatan sebanyak 3 peratus berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2020. Peningkatan ini membuktikan permintaan dunia terhadap industri perkayuan negara terus meningkat walaupun sewaktu negara terpaksa berdepan dengan pandemik Covid-19. Di antara produk berasaskan kayu utama yang telah dieksport ke lebih 173 negara adalah seperti papan lapis, kayu gergaji dan
perabot.

4. Nilai eksport produk buluh pada tahun 2021, adalah berjumlah RM8.41 juta yang mana telah meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding dengan tahun 2020 yang berjumlah RM8.28 juta. Nilai eksport ini dilihat masih lagi rendah berbanding dengan negara-negara lain dan Malaysia masih lagi bergantung kepada pengimportan produk buluh dari negara lain seperti China, Indonesia dan Vietnam. Nilai import produk buluh bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM89.23 juta.


5. Bagi membangunkan industri Buluh, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi MTIB telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif projek berkaitan buluh bagi meningkatkan potensi industri buluh, iaitu:-
i) Penubuhan 15 hektar Ladang Buluh contoh yang dibangunkan secara bersama antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu yang melibatkan penanaman spesis Buluh Betung, Beting, Beti, Brang, Madu, Beema dan Semantan.
ii) Program Community Farming Buluh di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang memberikan insentif anak benih buluh dan baja bagi penanaman dalam julat keluasan 1 sehingga 9.9 ekar. Sehingga 2022, sebanyak 53 hektar telah diluluskan yang mana melibatkan agihan anak benih buluh sebanyak 21,000 pokok.
iii) Penubuhan Bamboo One Stop Centre di Tadom Hill Resort, Banting, Selangor yang merupakan salah satu kolaborasi di antara MTIB, Malaysian Timber Council (MTC) dan Tadom Hill Resort Sdn. Bhd.
iv) Kerjasama MTIB dengan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) yang telah menubuhkan model Ladang Buluh contoh dengan keluasan 120 ekaryang melibatkan 60 peserta daripada usahawan PKS.


6. Kementerian bersama MTIB akan terus bekerjasama dengan Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memastikan pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan industri buluh dipertingkat. Ia penting agar industri Buluh dapat dibangunkan sebagai salah satu agrikomoditi bagi menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 SEPTEMBER 2022