KENYATAAN MEDIA
BULUH SEBAGAI PEMBAWA PERUBAHAN SIGNIFIKAN KEPADA INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA
-
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Bamboo One-Stop Centre di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) serta pihak swasta iaitu Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. Bamboo One-Stop Centre ini akan dibangunkan di Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. terletak di Banting, Selangor yang akan berperanan sebagai pusat rujukan setempat industri buluh bagi menggalakkan pembangunan industri buluh negara.
-
Tadom Hill Resort merupakan sebuah pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 45 ekar bertemakan taman buluh yang unik serta dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan. Lokasinya yang strategik merupakan satu kelebihan dan kemudahan bagi menyambut kedatangan pengunjung dalam dan luar negara. Selain ekopelancongan, Tadom Hill juga telah mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char). Usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan dalam usaha mentransformasi industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi dan lestari, sebagai antara fokus dalam RMK-12.
-
Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 70 spesies buluh dimana 45 daripada spesies ini merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Sehingga kini, terdapat seramai 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh serta kraftangan.
-
Bamboo One-Stop Centre yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih ramai usahawan buluh Malaysia di sepanjang rantaian nilai industri buluh. Di samping itu, pusat rujukan ini akan berperanan sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia.
-
Kementerian melalui MTIB dan MTC akan meneruskan usaha memperkasa pembangunan industri buluh Negara dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif. Kementerian yakin dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan dan seterusnya menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
19 Februari 2022