JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PENUBUHAN JAWATANKUASA DAKWAAN BURUH PAKSA LANGKAH
WAJAR SELESAI ISU MINYAK SAWIT DAN GETAH


Washington, D.C -15 Mei 2022. Saya amat mengalu-alukan keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dengan Kerajaan Malaysia bagi menangani isu dakwaan buruh paksa. Ini adalah langkah wajar untuk menyelesaikan isu berkaitan komoditi negara khususnya minyak sawit dan getah.


Dalam semangat Keluarga Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia YB Datuk Seri M. Saravanan kerana mendapat komitmen daripada CBP untuk menubuhkan jawatankuasa kerja ini semasa lawatan beliau ke AS yang sedang berlangsung. Semasa lawatan kerja saya ke AS yang dijadualkan bermula dari 11 Mei hingga 16 Mei 2022, Kementerian akan lakukan perkara susulan lebih dekat dengan pihak berkuasa di sini demi mencari penyelesaian segera. Saya juga akan mengadakan beberapa mesyuarat penting dan saya yakin resolusi yang baik boleh dicapai dalam tempoh terdekat.


Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh NGO dan kumpulan berkepentingan lain, tidak disahkan oleh pihak berkuasa AS. Namun tindakan ke atas produk Malaysia seperti minyak sawit dan produk minyak sawit telah diambil dan ini merupakan langkah yang kurang adil kepada industri komoditi negara kita. Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited untuk hapuskan buruh paksa dan buruh kanak- kanak melalui ratifikasi Konvensyen Asas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen No.182 (Worst Forms of Child Labour).


Di samping itu, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen No.98 (Perundingan Bersama), Konvensyen No.100 (Imbuhan Sama Rata) dan Konvensyen No.138 (Umur Minimum) dan Konvensyen no.131 (Gaji Minimum). Konvensyen-konvensyen ini menyediakan panduan dalam menentukan kewajipan Malaysia berkenaan dengan perlindungan hak pekerja asing. Pada masa ini, Malaysia juga telah terlibat dalam Projek BRIDGE dengan ILO, bertujuan menyokong usaha dalam memerangi buruh paksa di bawah Protokol 29 (Protokol tambahan kepada Konvensyen 29) sebagai panduan tentang langkahlangkah untuk menghapuskan semua bidang buruh paksa (pencegahan, perlindungan terhadap mangsa dan akses kepada keadilan). Malaysia juga telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai The Labour Situation in Palm Oil Plantation Sector in Malaysia pada tahun 2018. Dapatan kajian ini telah dihantar ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) dan diterbitkan sebagai dokumen awam. Pada 19 November 2021, Kerajaan Malaysia juga telah bersetuju untuk meratifikasi Protokol ILO 29 yang merupakan Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa, 1930, serta penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah SDG Alliance 8.7 sebagai sebahagian usaha berterusan usaha kerajaan membasmi buruh paksa di Malaysia.


Kerajaan melalui Kementerian akan terus memastikan industri komoditi negara yang merupakan antara penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 akan terus dilindungi dari propaganda mengelirukan dari pelbagai pihak. Saya juga ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia bersama KPPK dalam usaha menentang kempen anti-sawit dan terus mempromosi kebaikan minyak sawit Malaysia yang penuh kebaikan.

 

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI