JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA SOKONG PEMODENAN SEKTOR PERLADANGAN
KEMBOJA


1. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja pada tahun ini menjangkau usia 65 tahun dan negara jiran serantau tersebut menawarkan peluang bagi penggiat sektor hiliran produk minyak sawit yang mahu meneroka pasaran di luar negara.


2. Dengan populasi 17 juta penduduk, Kemboja adalah negara pengimport pelbagai produk agritani Malaysia yang utama, khususnya minyak sawit, malahan nilai dagangan antara kedua-dua
negara sentiasa meningkat saban tahun. Pada tahun 2021, Kemboja mengimport lebih tujuh (7) juta tan minyak sawit kita berbanding hanya lebih satu (1) juta tan pada tahun sebelumnya.

3. Dalam hal ini, selain menjadikan Kemboja sebagai destinasi import pelbagai produk berkaitan minyak sawit keluaran negara kita, penggiat-penggiat industri di Malaysia memiliki ruang untuk merintis usaha bagi menjayakan pemindahan teknologi, bakat dan kemahiran yang dapat membantu sektor pertanian serta perladangan Kemboja mencapai potensi sepenuhnya.


4. Dalam aspek produk-produk getah Kemboja, Malaysia sudah menjadi pusat rujukan yang diiktiraf. Hal yang sama dapat dijangkakan kepada produk-produk hiliran minyak sawit dengan
penyertaan lebih banyak syarikat Malaysia untuk melabur dalam pembangunan sektor minyak sawit Kemboja.


5. Ketika ini, Malaysia adalah negara ketiga terbesar yang membawa masuk pelaburan ke Kemboja, selepas China dan Korea Selatan dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) mencecah AS$3.53 bilion dalam tempoh 1994 hingga 2020. Sehingga kini, pelaburan dari negara kita di Kemboja, kebanyakannya bertumpu kepada sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan hiburan. Pada tahun 2021, nilai dagangan dua hala di antara Kemboja dan Malaysia adalah sebanyak AS$503.004 juta, iaitu peningkatan sebanyak 13.03 peratus daripada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Kastam dan Eksais Kemboja (GDCE).


6. Nilai eksport Kemboja ke Malaysia pula sebanyak AS$101.32 juta, meningkat sebanyak 2.2 peratus, manakala nilai import adalah berjumlah AS401.7 juta, iaitu peningkatan sebanyak 16.1 peratus. Secara keseluruhannya, defisit dagangan di antara kedua-dua negara pada tahun lalu meningkat sebanyak 21.7 peratus kepada AS$300.37 juta. Eksport utama Kemboja ke Malaysia adalah beras, buah tandan sawit (FFB), lada, getah, fabrik, komponen-komponen elektrik dan produk-produk industri serta pertanian, manakala
import utama pula termasuk barangan kenderaan, makanan dan minuman (F&B) serta produk-produk elektronik.


7. Melalui pemulihan ekonomi menggalakkan daripada kedua-dua negara yang pasca pandemik COVID-19, usaha membawa minyak sawit Malaysia menembusi pasaran-pasaran baharu melalui kempen-kempen jelajah antarabangsa bagi memperkukuh pasarannya semakin terserlah. Pengalaman Malaysia selama lebih 70 tahun dalam sektor pengeluaran minyak sawit boleh menjadi rujukan dan membantu Kemboja mencapai kejayaan sama dalam tempoh lima tahun melalui pemindahan teknologi, ilmu, bakat dan kemahiran.


8. Yakinlah bahawa kempen anti minyak sawit yang digerakkan oleh Kesatuan Eropah (EU) tidak menjejaskan pengeluaran atau eksport hasil ladang Malaysia. Tuduhan kononnya perladangan sawit Malaysia menggunakan buruh paksa dan menjejaskan alam sekitar juga adalah tidak berasas sama sekali. Sebaliknya, 35 peratus daripada minyak sawit keluaran negara kita memperoleh pensijilan diiktiraf antarabangsa, iaitu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Tiada negara lain di dunia yang mempunyai pensijilan seumpamanya untuk minyak sawit mereka.


9. Bagi membantu penggiat-penggiat industri hiliran minyak sawit Malaysia yang berhasrat memperkukuh keberadaan mereka di pasaran luar negara, saya suka untuk memaklumkan bahawa
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menggerakkan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit bagi meningkatkan kesedaran mengenai kualiti tinggi minyak sawit kita dalam memerangi maklumatmaklumat salah yang dilemparkan terhadap minyak ‘emas’ negara.


10. Kementerian sentiasa komited dalam memperkasa agenda sektor Agrikomoditi dari masa ke semasa, terutamanya sektor sawit supaya lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
CARETAKER KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN
DAN KOMODITI
12 OKTOBER 2022