PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan melancarkan siri jelajah di setiap negeri untuk memberi penerangan berkaitan kemampanan dalam industri komoditi negara supaya mematuhi piawaian antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah strategik itu bagi memastikan pihak yang terlibat dalam perladangan memahami dan menggunapakai piawaian kemampanan kerana sebarang ketidakpatuhan akan menggugat kebolehpasaran produk agrikomoditi negara di peringkat antarabangsa.
“Bukan sahaja exco negeri perlu faham, bermakna agensi negeri, pejabat tanah negeri dan pemain industri setiap negeri perlu faham. (Pihak kementerian) perlu jumpa mereka dan terangkan dengan mudah supaya mereka faham kesan dari setiap negeri.
“Mereka (badan global) akan melihat keseluruhan Malaysia untuk mematuhi peraturan ditetapkan.
Contonya, walaupun Johor, Perak dan Terengganu patuh, tetapi kalau ada negeri-negeri yang tidak, maka ada masalah untuk mendapatkan pengeluaran ladang kita diguna oleh pihak global,” katanya apabila ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat bersama Exco Pertanian Negeri hari ini.
Katanya, perkara yang perlu dilihat dan ditangani bersama oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri khususnya membabitkan pematuhan piawaian kemampanan oleh Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar, amalan buruh yang baik serta pemilikan sah ke atas tanah.
“Ada maklum balas berkenaan bagaimana kerajaan negeri hendak menyelesaikan isu tanah pertanian kerana ada tanah-tanah yang ditanam kelapa sawit tetapi nama pemilikan itu getah atau koko. Jika mahu mendapatkan sijil kemampanan, salah satu syarat adalah mempunyai pemilikan sah ke atas tanah,” katanya.
Bagaimanapun, pengurusan komoditi negara masih terkawal dan hanya perlu memastikan tiada lagi hutan simpan yang perlu diteroka selepas ini.
“Tanah-tanah yang kita gazetkan sebagai hutan simpan, kita ada sekitar 10.6 juta hektar. Tidak boleh lagi diteroka, tidak kira mahu tanam getah atau sawit. Apabila sudah teroka tu, kita sebagai negara sudah gagal. Pengeluaran kita untuk eksport akan ada masalah.
“Tetapi setakat hari ini kita mematuhi kerana Malaysia mempunyai 54 peratus hutan. Kerajaan Malaysia telah menandatangani (Perjanjian RIO 1992) untuk mengekalkan 50 peratus litupan hutan,” jelas beliau.
Sektor agrikomoditi telah menyumbang RM83.16 bilion atau sekitar 5.3 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu.
https://www.buletintv3.my/nasional/siri-jelajah-komoditi-akan-dilaksana-beri-penerangan-isu-kemampanan-johari-ghani/#google_vignette
Sumber : Buletin TV3