Kota Bharu: Kira-kira 99.9 peratus banduan di negeri ini mendapat kerja dalam pelbagai sektor di bawah program Corporate Smart Internship (CSI).

Pengarah Penjara negeri, Mat Yaacob berkata, kesemua banduan atau dipanggil sebagai prospek itu terdiri daripada mereka yang menjalani Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan 48 majikan dalam pelbagai sektor atau syarikat, antaranya perkilangan, ladang dan spa.

"Dengan kerjasama ini, ia memberi lebih peluang pekerjaan kepada banduan dan mereka diterima bekerja dengan syarikat. Kebanyakan banduan ini ditawarkan bekerja sebaik dibebaskan.

"Ini menunjukkan bahawa majikan semakin terbuka untuk mengambil prospek (banduan) untuk bekerja dengan syarikat mereka," katanya pada sidang media selepas Program Hari penjara ke-234 peringkat Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Pemangku Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Mohamad Saizi Ibrahim menyerahkan tugas kepada Pengarah baharu, Kamarulzaman Ismail.

Mengulas lanjut Mat berkata, program CSI di negeri ini berjaya berikutan mendapat kerjasama yang sangat baik dengan majikan dan berharap lebih ramai dalam kalangan mereka menyertai program itu.

"Kita juga bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia cawangan Kelantan dan 97 banduan sudah mendapat sijil penoreh getah serta sudah masuk ke ladang untuk bekerja," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1068988/999-peratus-banduan-jalani-parol-pbsl-dapat-bekerja#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro