KUALA LUMPUR: Perolehan syarikat perladangan sawit pada suku keempat 2023 dijangka akan merosot berbanding suku sebelumnya dan suku sama 2022, kerana hasil pengeluaran menurun selepas tamatnya musim keluaran puncak, demikian menurut RHB Investment Bank.

Bank pelaburan itu berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) yang merosot mungkin memberi kesan lebih besar terhadap perolehan dan faktor-faktor ini dianggap telah termasuk dalam kiraan prestasi buat sektor perladangan.

"Kami menjangkakan kebanyakan syarikat akan mencatatkan keputusan yang menepati jangkaan pada suku ini, berdasarkan anggaran keluaran tandan buah segar (FFB) di mana saranan 'neutral' dikekalkan terhadap sektor perladangan.

"Keluaran FFB suku ke suku mencatat jumlah lebih rendah selepas berakhirnya musim keluaran puncak manakala harga MSM semasa menyusut sedikit dan di Malaysia, keluaran FFB oleh syarikat-syarikat di bawah liputan kajian kami menyusut pada purata 0.6 peratus suku ke suku, manakala harga MSM semasa menurun 2.6 peratus suku ke suku pada suku keempat 2023," katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.

RHB Investment Bank berkata, di Indonesia, anggaran bahawa keluaran FFB suku keempat 2023 bagi saham yang diliputi jatuh pada kadar lebih tinggi iaitu 11.9 peratus suku ke suku (mengikut trend musim).

Ia berkata, harga MSM selepas cukai menurun 2.2 peratus suku ke suku dengan jumlah keluaran di Indonesia menyusut dengan lebih banyak diakibatkan oleh cuaca kering yang melanda di Kalimantan dan di Sumatera Selatan pada suku ketiga.

"Secara tahun ke tahun, perolehan yang lebih rendah juga dijangkakan bagi syarikat perladangan di Malaysia dan di Indonesia, kerana harga MSM memberi kesan lebih besar pada perolehan berbanding kesan daripada keluaran.

"Di Malaysia, biarpun purata keluaran FFB menokok 4.5 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2023, harga MSM semasa jatuh 5.8 peratus tahun ke tahun, manakala di Indonesia pula, keluaran FFB dianggarkan bertambah 3.4 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2023, namun harga MSM bersih jatuh 11.1 peratus tahun ke tahun," katanya.

Ia berkata, perolehan suku keempat 2023 itu rata-ratanya dijangka menepati jangkaan, berdasarkan anggaran mengenai kadar pengeluaran yang disebabkan oleh keluaran lebih lemah pada musim ini.

Bank pelaburan itu menambah, keputusan bagi dua syarikat mungkin gagal mencapai ramalan berdasarkan keluaran FFB, manakala hanya satu syarikat mungkin mencatat keputusan lebih baik berbanding unjuran, iaitu FGV Holdings Bhd dan lapan lagi syarikat perladangan diramalkan akan merekodkan keputusan menepati jangkaan.

"Bagi syarikat yang memiliki operasi hiliran di Indonesia, margin dijangka akan melemah suku ke suku dan tahun ke tahun pada suku keempat 2023, akibat perbezaan cukai yang lebih kecil antara produk huluan dengan hiliran iaitu sebanyak AS$35 tan (berbanding AS$48 pada suku ketiga 2023 dan AS$39 pada suku keempat 2022).

"Sebaliknya, syarikat hiliran Malaysia pula mungkin meraih margin lebih tinggi sedikit suku ke suku disebabkan oleh persaingan yang mereda daripada Indonesia," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2024/02/1209767/syarikat-perladangan-sawit-dijangka-raih-hasil-rendah

 

Sumber : Berita Harian