KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia meningkat pada akhir April buat pertama kali dalam tempoh enam bulan berikutan peningkatan pengeluaran walaupun terdapat penurunan dalam eksport, kata pengawal selia industri.
Peningkatan stok di Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia akan memberi tekanan kepada penanda aras niaga hadapan, yang didagangkan menghampiri paras terendah dalam tiga bulan.
Stok minyak sawit Malaysia pada akhir April meningkat 1.85 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 1.74 juta tan, kenaikan pertama bulan ke bulan sejak Oktober, menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Pengeluaran minyak sawit mentah meningkat 7.86 peratus dari Mac kepada 1.5 juta tan, manakala eksport minyak sawit merosot 6.97 peratus kepada 1.23 juta tan, kata MPOB.
Tinjauan Reuters menjangkakan inventori April pada 1.68 juta tan, penurunan dua peratus berbanding bulan sebelumnya, dengan pengeluaran pada 1.46 juta tan dan eksport pada 1.22 juta tan.
Pertumbuhan pengeluaran adalah lebih daripada jangkaan dan itu membawa kepada stok yang lebih tinggi, kata peniaga yang berpangkalan di New Delhi dengan syarikat perdagangan global.
"Eksport perlu meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana pengeluaran dijangka terus meningkat," tambah peniaga itu.
Minyak sawit kini telah didagangkan pada harga diskaun berbanding minyak soya dan minyak bunga matahari, yang akan membantu ia mendapatkan semula bahagian pasaran di negara pengguna utama seperti China dan India, kata Ketua Penyelidik Minyak Sayuran Sunvin Group, Anilkumar Bagani.
-Reuters
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/05/1245370/stok-minyak-sawit-negara-meningkat-kali-pertama-dalam-6-bulan
Sumber : Berita Harian