KUALA LUMPUR: Jumlah pengeluaran yang lebih rendah dalam bulan-bulan akan datang serta permintaan yang dijangka meningkat dalam pasaran eksport mungkin menyebabkan stok minyak sawit Malaysia menyusut sehingga bawah paras dua juta tan bulan depan, sekali gus mendorong kepada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).
RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, ramalan model iklim antarabangsa menunjukkan bahawa El Nino sudah memuncak dan kini sedang mereda, sebelum dijangka kembali ke paras neutral pada Mei.
Ia berkata, menjelang Julai sehingga September 2024, La Nina adalah kategori yang paling berkemungkinan akan berlaku, dengan kebarangkalian 58 peratus fenomena ini telah berlaku tiga tahun berturut-turut pada 2020 sehingga 2023 pada tahap sederhana.
"La Nina yang kuat mungkin berlaku pada 2024. Meskipun impak La Nina terhadap pengeluaran sawit lazimnya dilihat tidak ketara, namun fenomena yang berlaku tiga tahun berturut-turut menunjukkan terdapat impak, termasuklah hujan lebat yang melampau dan banjir di Australia, kemarau berlarutan di Afrika, selain kemarau luar biasa di kawasan barat daya AS.
"Oleh itu, kami perlu memantau tahap La Nina kali ini dan kesannya terhadap tanaman-tanaman lain," katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.
RHB Investment Bank berkata, India membenarkan duti import lebih rendah dilanjutkan kepada minyak makan sehingga Mac 2025, yang pada asalnya dijangka tamat pada Mac 2024 bagi menangani tekanan inflasi. "Ini memberi petanda baik buat permintaan dari India, walaupun persaingan harga akan terus memainkan peranan dalam menentukan pola pembelian negara itu.
"Harga MSM sekarang AS$4.22 tan lebih tinggi berbanding minyak bunga matahari, manakala harganya berbanding minyak kacang soya (SBO) pula adalah pada diskaun yang semakin kecil dan kami berpendapat bahawa permintaan dari India telah beralih," katanya.
Bank pelaburan itu menambah, mandat B35 di Indonesia menyaksikan peningkatan penggunaan MSM sebanyak 14 peratus tahun ke tahun pada 2024 dan Indonesia mengakhiri tahun ini dengan kenaikan pengeluaran biodiesel sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun berdasarkan mandat B35, iaitu lebih rendah daripada sasaran kenaikan 15 peratus yang ditetapkan.
"Ini bermakna permintaan pada 2024 perlu meningkat 14 peratus bagi mencapai mandat B35 untuk setahun penuh dengan tambahan MSM sebanyak satu juta tan hingga 1.5 juta tan diperlukan demi memenuhi tujuan ini," katanya.
"Stok minyak Malaysia pada Januari juga menyusut kepada 2.02 juta tan iaitu pengurangan 12 peratus bulan ke bulan akibat daripada keluaran dan eksport masing-masing jatuh 10 dan satu peratus, dengan nisbah stok berbanding penggunaan kini pada paras 10.3 peratus, iaitu lebih tinggi daripada purata 15 tahun sebanyak 10 peratus.
"Walaupun pengeluaran bakal mereda dalam bulan-bulan akan datang, namun permintaan daripada pasaran eksport mungkin kembali menaik apabila tibanya perayaan Aidilfitri," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1212324/stok-minyak-sawit-negara-dijangka-jatuh-bawah-dua-juta-tan
Sumber : Berita Harian