SERDANG: Sebagai komitmen berterusan FGV Holdings Berhad (FGV) terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), perusahaan komoditi itu melancarkan Rangka Kerja Kelestarian baharu bagi menyumbang kepada usaha negara mengubah industri sawit kelmarin.

Rangka Kerja Kelestarian itu adalah berdasarkan komitmen kelestarian FGV sedia ada, namun diperbaharui dengan meliputi lima teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, tadbir urus, sosial, alam sekitar dan inovasi dan teknologi.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Festival FGV bersempena Hari Peneroka Felda, di Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Nazrul Mansor berkata, pembaharuan itu termasuk mengenal pasti bidang tumpuan khusus di bawah setiap teras berdasarkan arah aliran ESG semasa.

Jelasnya, ia termasuk kecemerlangan operasi, hak asasi manusia dan piawaian buruh, kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman, pensijilan kelestarian, kebolehkesanan, penyumberan yang bertanggungjawab dan pengurusan rantaian bekalan, penglibatan dan pembangunan komuniti, tindakan iklim, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan tenaga serta kepelbagaian biologi dan pengurusan tanah.

“Rangka Kerja Kelestarian ini adalah bukti dedikasi kami di FGV terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar.

“Ini juga jelas membuktikan kepentingan dan komitmen FGV terhadap rangka kerja yang ditambahbaik, malah Yang Berhormat Fadillah sendiri memuji usaha kami kepada agenda kelestarian demi merealisasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Kami percaya, dengan kerjasama daripada pelbagai pihak ia boleh memberi impak positif kepada industri sawit dan sektor berkaitan, sekali gus memacu membina masa hadapan yang lebih baik untuk negara dan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, kata Nazrul, FGV turut mempertingkatkan amalan buruhnya termasuk memperkukuh dasar dan prosedur syarikat serta langkah usaha wajar untuk proses pengambilan dan menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang lebih baik termasuk pekerja.

“Sejajar dengan komitmen syarikat kepada inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi), kami sedang membangunkan rancangan pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) bagi memenuhi sasaran jangka pertengahan dan jangka panjang syarikat,” katanya.

Katanya, FGV turut menggunakan produk biojisim sisa pemprosesan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Menurut beliau, FGV kini mempunyai dua loji jana kuasa biojisim yang mampu menghasilkan kira-kira 20 megawatt (MW) dan 28 loji biogas berkapasiti 15.4 MW untuk program Tarif Masukan (FiT).

Menurutnya, pengumpulan biojisim kelapa sawit yang diperoleh dari ladang-ladang FGV dan pekebun kecil menjadikan FGV pemilik sumber biojisim terbesar dunia, yang mana prospek itu membolehkan FGV menjaga tenaga bio terbesar di Malaysia dan membawa perkhidmatan tenaga bio secara meluas untuk pengguna.

“Kami juga terus memberi tumpuan kepada program pemuliharaan dan sehingga kini, kami sudah menyelamatkan 86 ekor beruang madu dan 75 ekor sudah pulih dan dilepaskan.

“Program ini turut melepaskan 16 ekor ungka kembali ke hutan setelah berjaya menyesuaikan diri dengan habitat liar dan menyaksikan 14 ekor anak tenggiling dalam kurungan,” katanya.

Dalam program sama, Fadillah turut melancarkan program percubaan biodiesel B100 untuk tempoh enam bulan, sekali gus menjadi percubaan pertama di negara ini untuk menguji kebolehgunaan bahan api yang boleh diperbaharui di lori tangki FGV yang bekerjasama dengan MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd. (MAN Malaysia).

Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya berkata, negara memerlukan penyelesaian yang inovatif, amalan bertanggungjawab dan komitmen jangka panjang terhadap kesejahteraan alam sekitar serta sosial dan hal itu dicerminkan dalam rangka kerja kelestarian FGV.

“Kerangka ini menunjukkan kepimpinan dan komitmen syarikat untuk mengintegrasi amalan dan prinsip kemampanan dalam operasi perniagaan.

“Tidak dinafikan masih ada cabaran kita perlu hadapi dalam mencapai matlamat pembangunan mampan, namun, kita yakin kerjasama kukuh antara kerajaan dan sektor perniagaan kunci mencapai matlamat pembangunan negara.

“Saya yakin, FGV dapat memainkan peranan signifikan dalam memajukan agenda kelestarian negara,” katanya.

Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd. Isa pula berkata, rangka kerja itu bukan sekadar dokumen sahaja, malah ia merupakan panduan FGV dalam membuat keputusan strategik dan operasi.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat atas sokongan dan kerjasama diberi dalam menjayakan program ini. Komitmen berterusan penting untuk menjadikan FGV syarikat kekal mampan, lestari dan mampu bersaing dalam suasana dunia dan industri yang sentiasa berubah,” katanya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/pilihan-utusan/2024/07/rangka-kerja-kelestarian-komitmen-berterusan-fgv-ubah-industri-sawit/

 

Sumber : Utusan