MINYAK Sawit Mampan Malaysia (MSPO) perlu bersifat dinamik dan bergerak seiring dengan keutamaan dunia yang kian berubah.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kementerian akan memastikan skim pensijilan MSPO sentiasa ditambah baik supaya dapat kekal relevan.
Menurutnya, langkah itu dibuat demi memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa, terutamanya berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penebangan hutan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik.
"Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), kini telah dijenamakan semula sebagai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
"Penjenamaan ini dilihat sebagai satu strategi pemasaran dan pemerkasaan jenama dan imej pensijilan MSPO di peringkat domestik dan antarabangsa.
"MSPO wajar mengadakan sesi libat urus yang efektif dengan pemegang taruh seperti pembuat dasar, persatuan pengguna, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan peniaga, bagi meningkatkan tahap kesedaran tentang inisiatif dan komitmen Malaysia,” katanya.
Abdul Hadi Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Teks ucapan Johari dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Perancangan Strategik dan Pengurusan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Abdul Hadi Omar Majlis Pelancaran Ulang Tahun MPSO ke-10 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Turut hadir Pengerusi MSPO, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.
"Hal ini penting sebagai satu langkah untuk menjadikan MSPO sebagai badan pensijilan yang boleh dipercayai dan dipercayai kerana Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia.
"Pada tahun 2023, kita telah mengeksport sekitar 80 peratus (atau 14.8 juta tan) daripada 18.6 juta tan keluaran minyak sawit negara.
"Sektor ini juga menyumbang tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi punca rezeki kepada satu juta individu,” katanya.
Tambahnya, di dalam perbincangan dua hala antara pihak kementerian dan pihak Kesatuan Eropah (EU) berkenaan isu European Union Deforestation-free Regulation (EUDR) dan MSPO, Malaysia telah mendapat respon yang positif berkaitan usaha Malaysia untuk mengurangkan kadar penebangan hutan.
"Pihak Kesatuan Eropah (EU) juga memberi pengiktirafan yang bermakna atas komitmen Malaysia terhadap pengeluaran produk komoditi yang mampan,” ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/664556
Sumber : Sinar Harian