Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini mengumumkan pelancaran Pelan Tindakan Strategi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2024 hingga 2026.

Tiga strategi utama itu untuk membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai; memastikan pematuhan pemain industri dan menambah nilai kepada skim pensijilan MSP); serta memperluaskan pengiktirafan dan penerimaan MSPO, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Abdul Hadi Omar.

"Saya harap MSPO dapat terus menerajui industri ini dan pihak kerajaan akan sentiasa memberikan kerjasama agar kita dapat menjulang imej industri sawit negara ke satu tahap yang lebih tinggi di persada antarabangsa," katanya pada majlis ulang tahun ke-10 MSPO di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur petang tadi.

MSPO dahulunya dikenali sebagai Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). Ia skim pensijilan kebangsaan untuk ladang kelapa sawit, kebun kecil bebas dan terancang serta kemudahan pemprosesan minyak sawit.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata MSPO mesti menumpukan perhatiannya kepada tiga isu.

Pertama, MSPO mesti dinamik dalam dunia yang berubah keutamaannya. Kerajaan akan memastikan skim pensijilan itu terus ditambah baik untuk kekal relevan, katanya.

Piawaian MSPO 2.0 adalah inisiatif kewibawaan pensijilan dengan mengambil kira nilai pemuliharaan yang tinggi, penilaian impak sosial dan pengiraan pelepasan gas rumah hijau sambil menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak, tambahnya.

Kedua, sesi penglibatan yang berkesan mesti diadakan dengan pihak berkepentingan seperti penggubal dasar, persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan dan usahawan untuk meningkatkan kesedaran tentang inisiatif dan komitmen negara.

Akhir sekali, semua produk minyak sawit yang diperakui MSPO mesti memaparkan logo skim itu tidak kira sama ada ia dijual di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Bercakap mengenai penjenamaan semula MSPO, kata Abdul Hadi ia strategi pemasaran untuk memperkasakan skim berkenaan di peringkat dalam negara dan antarabangsa.

"Semoga MSPO akan meneruskan kecemerlangan dan membantu menabur bakti kepada ekonomi serta kemajuan industri minyak sawit negara," katanya lagi.

 

https://m.malaysiakini.com/news/705386#google_vignette

 

Sumber : Malaysia Kini