KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus mengukuhkan usaha dan menambah baik pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memenuhi keperluan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Ia terutama berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penyahhutanan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik supaya minyak sawit negara diterima baik di seluruh pasaran dunia.

Menjelaskan demikian, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, berkata Malaysia berusaha mempertahankan kepentingan industri minyak sawit dalam menghadapi cabaran EU.

"Ia melalui usaha di peringkat domestik dan antarabangsa serta penekanan kepada amalan penanaman sawit secara mampan dan pematuhan terhadap standard kelestarian yang diiktiraf.

"Pelbagai usaha dilaksanakan kementerian untuk meyakinkan dan memastikan bahawa pensijilan MSPO dapat memenuhi perundangan EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia," jawabnya.

Beliau berkata, antara usaha dilakukan, termasuklah penubuhan pasukan petugas bersama Ad Hoc Joint Task Force on EUDR (Ad Hoc JTF) dengan kerjasama Indonesia, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Suruhanjaya Eropah (EC).

"Melalui platform ini, pihak EU bersetuju untuk membantu menangani kekangan dihadapi Malaysia dan Indonesia dalam memenuhi keperluan EUDR," katanya dalam jawapan kepada soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu).

Bakri mahu tahu sejauh mana usaha kementerian dalam kempen meyakinkan EU bahawa MSPO adalah pensijilan yang memenuhi piawaian EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia.

Pada masa sama, menurut Johari, mesyuarat pertama Ad Hoc JTF pada Ogos tahun lalu, mengenal pasti lima kekangan utama merangkumi isu pembabitan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional yang berkaitan.

Selain itu, katanya, kekangan turut membabitkan kebolehjejakan daripada pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik mengenai penyahhutanan serta degradasi hutan dan perlindungan data peribadi.

"Melalui platform ini juga, MSPO telah bekerjasama dengan Institut Perhutanan Eropah (EFI) bagi menjalankan kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO dengan perundangan EUDR.

"Hasil awal kajian menunjukkan MSPO berpotensi besar untuk memenuhi keperluan peraturan EUDR. Ini kerana Malaysia telah menyemak semula piawaian MSPO 2.0 supaya selari dengan norma antarabangsa.

"Ia bagi meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop yang lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global. MSPO 2.0 ditambah baik dengan kemasukan beberapa elemen membabitkan isu sosial dan amalan pertanian baik," katanya.

Beliau berkata, ia seperti Penilaian Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG).

"Ia juga membabitkan penetapan tarikh akhir pada 31 Disember 2019 bagi penebangan hutan asli, kawasan yang dilindungi dan kawasan HCV untuk penanaman sawit,"katanya.

Menurut Johari, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) juga menerbitkan hasil analisis pakar pensijilan kemampanan minyak sawit dari Belgium, Pierre Bois d'Enghien, yang mendapati pensijilan MSPO berpotensi memenuhi semua keperluan EUDR.

Katanya, usaha penambahbaikan dalam pensijilan itu akan memastikan bahawa MSPO boleh diterima pakai sebagai 'compliance tool' untuk EUDR.

"Hasil kajian ini dapat mengesahkan status MSPO sebagai standard pensijilan bertaraf dunia yang akan membantu usaha industri sawit Malaysia untuk mengeksport minyak sawit mampan yang mematuhi ketetapan EUDR.

"Hasil kajian ini akan dikongsikan dalam sesi libat urus Malaysia dengan EU supaya MSPO dapat diterima dan diiktiraf oleh EU," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1271961/malaysia-berusaha-pertahan-kepentingan-industri-minyak-sawit-negara

 

Sumber : Berita Harian