BESUT: Kira-kira lima hektar ladang kelapa sawit terbakar di Felda Tenang di sini sejak pagi tadi.

Komander operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Besut Ridzuan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11. 39 pagi, sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika bomba tiba di tempat kejadian kita dapati api sedang marak dan kebakaran tersebut telah merebak pada skala lebih besar.

” Susulan itu bomba telah melakukan teknik ‘direct method’ bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan lebih luas, ” katanya ketika ditemui di Felda Tenang, di sini, hari ini.

Katanya, ketiadaan sumber air terbuka di kawasan itu menyebabkan pihak bomba terpaksa berulang alik sejauh tiga Kilometer untuk mengisi air bagi memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu Penolong Pengurus Ladang Field Controller Felda Plantation Management Sdn. Bhd.

(FPMSB) Tenang Besut, Muhd. Ikwan Che Hasan berkata kebakaran itu dikatakan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika pekerja ladang sedang bekerja.

“Susulan daripada itu, kami telah menghubungi talian kecemasan 999 dan semua pekerja diarahkan menjauhkan diri dari lokasi kebakaran sementara kedatangan pihak bomba.

” Apabila api berjaya dikawal kami mengambil inisiatif membantu pihak bomba memadamkan kebakaran dengan mengangkut air tangki berisipadu 1,000 liter dan menggunakan pam racun,” katanya.

Jelasnya lagi, kebakaran itu menyebabkan kerugian hampir 1,000 anak pokok kelapa sawit yang baru ditanam. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/05/lima-hektar-ladang-kelapa-sawit-terbakar/#google_vignette

 

Sumber : Utusan