KUALA LUMPUR: Malaysia memperoleh lebih RM230 juta melalui perjanjian perdagangan minyak sawit dengan China, sekali gus mengukuhkan lagi sektor komoditi Malaysia.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata perjanjian itu membabitkan empat memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat minyak sawit Malaysia dan perniagaan di China yang ditandatangani pada Sidang Kemuncak Industri Bijirin dan Minyak Antarabangsa China ke-15 di Nanjing pada 11 Julai lalu.

Beliau berkata, empat MoU yang ditandatangani adalah antara Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan BOCE Trade Service Co Ltd untuk eksport tocotrienol; Taobao (China) Software Co Ltd dan Able Perfect Group untuk memperluas akses pasaran digital; Taobao (China) Software Co Ltd dan Sawit Kinabalu Group untuk perdagangan minyak sawit mentah (MSM) serta JF Nutritech dan Palmort Food Tech (Shanghai) untuk aplikasi minyak sawit merah dalam makanan haiwan.

Able Perfect, kilang penapisan minyak sawit yang berpusat di Pelabuhan Klang katanya ingin memperluas kehadirannya di pasaran China terutamanya dalam minyak sawit yang ditapis dengan anggaran RM200 juta melalui perjanjian perdagangan itu.

"MoU itu membabitkan pengembangan perdagangan produk minyak sawit ke sektor baharu. Ini termasuk memanfaatkan platform e-dagang global, Taobao, untuk membangunkan saluran jualan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pelanggan (B2C) dalam talian, serta memasuki pasaran produk kesihatan dengan tokotrienol, sejenis vitamin E yang kuat yang berasal dari minyak sawit.

"Inisiatif itu menandakan pencapaian penting bagi perusahaan minyak sawit Malaysia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, syarikat Malaysia mesti menumpukan kepada pengeluaran bernilai tambah tinggi dan berkualiti tinggi untuk kekal berdaya saing di pasaran global.

Beliau berkata, dengan pengeluaran tahunan minyak sawit Malaysia yang kekal sekitar 18 juta tan, adalah penting untuk mematuhi piawaian Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan prinsip pembangunan lestari.

Katanya, minyak sawit adalah salah satu minyak sayuran yang paling serba boleh dan cekap, dengan ciri-ciri yang pelbagai dan mudah diproses, memberikan kelebihan dan peluang yang signifikan untuk R&D dan inovasi produk.

"China telah meluluskan eksport dan penggunaan tokotrienol sawit dalam aplikasi makanan pada Mac tahun ini. Oleh itu, nilai keseluruhan perjanjian perdagangan ini dijangka meningkat dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/07/1271630/lawatan-ke-china-dapatkan-perjanjian-minyak-sawit-lebih-rm230-juta

 

Sumber : Berita Harian