KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melaksanakan beberapa strategi dalam mempromosikan minyak sawit mampan termasuk mengadakan kempen anti minyak sawit ini di peringkat global.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, strategi bersasar dan berterusan perlu dilaksanakan bukan sahaja bagi tujuan promosi tetapi juga bagi menyanggah propaganda anti minyak sawit yang cuba dimainkan oleh pengeluar minyak yang boleh dimakan selain daripada minyak sawit.
“Kita akan berterusan mengadakan kempen anti minyak sawit ini di (peringkat) global melalui sesi libat urus iaitu kita terus mengadakan penglibatan dua hala bersama penggubal-penggubal dasar di negara-negara pengimport.
“Juga kita buat penglibatan dengan ahli-ahli politik negara tersebut, persatuan-persatuan pengguna, pembeli-pembeli, para peniaga dan pengimport dan juga pemain-pemain industri serta pihak-pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat yang sentiasa menggunakan isu tentang propaganda minyak kelapa sawit ini.
“Perkara ini akan berterusan dan kita akan berkongsi maklumat yang lengkap terutamanya berdasarkan kajian saintifik dan juga data-data yang sahih (kepada negara dagangan berkaitan).,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen yang meminta beliau menyatakan strategi menyeluruh untuk mempromosikan minyak sawit lestari di pasaran antarabangsa.
Datuk Seri Johari menjelaskan, KPK juga akan terus mendidik dan menjalankan program kesedaran awam bagi pemegang taruh berkenaan usaha kerajaan bersama pihak pengawal selia Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam menerapkan amalan perladangan yang baik termasuk amalan buruh yang bertanggungjawab oleh pemain-pemain industri di Malaysia.
Katanya KPK juga menekankan kepentingan setiap pemain industri mendapatkan sijil Malaysian Sustainable Palm Oil dengan secara tak langsung sijil ini juga membuktikan bahawa setiap pengeluaran ladang kita ini memenuhi ciri-ciri kemampanan global yang utama.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan propaganda anti minyak sawit yang cuba dimainkan oleh negara pengeluar minyak boleh makan yang lain disebabkan ketidakmampuan negara berkenaan bersaing dengan pengeluaran minyak kelapa sawit.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Johari berkata, Malaysia mengeluarkan hampir 18.6 juta matrik tan minyak sawit tetapi penggunaan peringkat domestik hanya sekitar 4 juta dan lebihan itu akan dieksport ke negara lain.
Dalam proses mempromosikan minyak sawit ttempatan di peringkat global, katanya kerajaan perlu sentiasa mengadakan lawatan ke negara-negara pembeli dalam menangkis dakwaan tidak teapt mengenai minyak kelapa sawit yang sedang berlegar dalam negara berkenaan.
“Kita dapat China dengan India (sebagai rakan dagang) kerana China lebih kurang dalam 1.2 bilion populasi penduduk (dan) India 1.4 bilion (penduduk).
“Jadi apabila mereka ini merupakan pembeli terbesar dan kegunaan minyak sawit itu merangkumi hampir keseluruhan negara tersebut, maka dia tidak ada isu dari segi soal kelapa sawit ini.
“Ini propaganda yang dilakukan oleh negara-negara pengeluar edible oil yang lain selain daripada minyak kelapa sawit seperti minyak kacang soya, minyak bunga matahari dan minyak biji anggur ini (kerana) tak mampu nak bersaing dengan minyak kelapa sawit ini kerana kita merupakan edible oil yang sangat efisienan segi pengeluaran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen.
Jelasnya, setiap satu hektar ladang kacang soya, bunga matahari dan anggur hanya menghasilkan 0.5 tan minyak kacang soya, 0.8 matrik tan minyak matahari dan 0.9 tan minyak biji anggur.
Namun jelasnya, satu hektar ladang kelapa sawit boleh mengeluarkan 3.3 hingga 3.6 metrik tan minyak.
“Sudah tentu dari segi daya saing edible oil ini sangat-sangat bagus untuk kegunaan penduduk kerana ada dua kegunaan.
“Satu untuk berasaskan makanan dan satu untuk bukan berasaskan makanan, sebab itu kelapa sawit ini menjadi saingan besar kepada edible-edible oil yang lain,”tambahnya.
https://www.buletintv3.my/nasional/kpk-laksana-strategi-bersasar-promosi-minyak-sawit-sanggah-propaganda-anti-minyak-sawit/#google_vignette
Sumber : Buletin TV3