Kuala Berang: Pekebun di enam kampung di daerah ini gusar apabila kebun kelapa sawit dan nanas yang diusahakan menjadi sasaran gajah liar sejak tiga tahun lalu.

Pekebun, Zamani Yusof, 56, dari Kampung Teris, di sini berkata, konflik antara manusia dan gajah masih tiada kesudahan berikutan mamalia itu semakin mudah ditemui di kawasan kebun milik penduduk.

Menurutnya, serangan gajah semakin buruk sejak awal tahun ini apabila sudah empat kali kebun penduduk dicerobohi sehingga memusnahkan pokok kelapa sawit dan nanas.

Katanya, masalah itu merunsingkan pekebun apabila perlu mengeluarkan modal besar setiap kali berlaku kerosakan namun serangan gajah liar kembali berulang beberapa bulan kemudian.

"Saya membelanjakan lebih RM54,000 bagi mengupah pekerja untuk membersihkan kebun, sewa jentera berat, membeli benih, tanam semula tetapi tiga atau empat bulan selepas itu, pokok-pokok kembali dirosakkan.

"Kalau ikutkan hati saya hampir berputus asa apabila melihat kemusnahan disebabkan serangan gajah liar ini.

"Apatah lagi mengenangkan puluhan ribu ringgit yang dilaburkan hangus begitu saja angkara gajah dan situasi itu bukan saja saya alami malah pekebun-pekebun lain juga," katanya.

Menurutnya, pelbagai cara sudah dilakukan seperti membakar tayar dan memasang pagar namun haiwan berkenaan tetap datang untuk mencari makanan.

Rakannya, Mohd Shukri Majid, 45, berkata, serangan terbaru tiga hari lalu menyebabkan kemusnahan kepada tanaman kelapa sawit.

"Saya berharap pihak berkenaan mengambil langkah drastik menangani konflik ini yang dihadapi pekebun dari Kampung Teris, Chapu, Gerdong, Padang Setar, Ulu Sat dan Kuala Jeneris.

"Bulan ini saja sudah tiga, empat kali kami membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kejadian pencerobohan gajah liar ke kawasan kebun.

"Kakitangan Perhilitan ada datang ke kawasan kebun untuk membuat siasatan dan apa yang kami harapkan adalah gajah-gajah liar ini dapat dipindahkan," katanya.

Menurutnya, Perhilitan ada bagi cadangan memasang pagar elektrik bagi menghalang pencerobohan gajah liar tetapi kami tidak mampu kerana kos yang terlampau tinggi.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sememangnya membuat kawalan dari masa ke semasa di kawasan yang dilaporkan.

"Kita juga dalam perancangan untuk membina pagar elektrik kekal berkemungkinan akan dilaksanakan pada tahun ini atau tahun hadapan.

"Untuk rekod dari tahun 2022 hingga 2023, sudah lima ekor gajah dipindahkan dari kawasan terbabit ke lokasi yang lebih jauh," katanya.

Menurutnya, kedudukan kampung selain kebun berhampiran hutan menjadi tarikan haiwan untuk keluar mencari makan.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1094324/hampir-putus-asa-lihat-tanaman-dimusnahkan-gajah#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro