KLANG - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan tumpahan minyak di pintu air Jalan Tangki, Pelabuhan Klang di sini yang datang dari sebuah kilang penyimpanan minyak sawit.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berpunca daripada kebocoran paip hos di premis berkenaan yang menyebabkan tumpahan minyak masuk ke dalam longkang seterusnya mengalir ke parit berhampiran.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan semakan LUAS di tapak, tiada aliran minyak memasuki Sungai Aur susulan penutupan pintu air di lokasi.

"Premis terbabit telah menghentikan operasi dan melaksanakan pembaikan paip hos tersebut.

"LUAS telah mengarahkan pihak premis untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa tumpahan di kawasan terlibat," kata kenyataan itu di Facebook.

Tambah kenyataan itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga telah memasang oil boom di parit terlibat bagi mengawal tumpahan.

Selain itu kata kenyataan itu, LUAS telah melakukan pensampelan kualiti air yang telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan.

"LUAS akan mengambil tindakan lanjut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 di atas kesalahan mencemarkan sumber air," kata kenyataan itu.

Menerusi perkongsian sama, LUAS mengingatkan pihak Industri memastikan keselamatan, penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan berada dalam keadaan sempurna agar tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai.

Tegasnya, kerajaan negeri, LUAS dan agensi berkaitan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian pihak yang menimbulkan permasalahan mencemarkan sumber air.

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/673609

 

Sumber : Sinar Harian