SUNGAI PETANI - Penetapan harga getah sekerap yang meningkat kepada RM4 sekilogram mampu memberi kegembiraan menjelang Aidilfitri buat penoreh sekiranya ia benar direalisasikan
Penoreh, Shahrizal Razak, 36, dari Sik, berkata, kenaikan harga baharu pada Isnin ditetapkan mencecah RM3.70 sekilogram berbanding RM3.40 sekilogram sebelum ini.
Menurutnya, jika harga meningkat sehingga RM4 sekilogram, sudah pasti memberi khabar gembira kepada golongan penoreh.
"Saya jangka kenaikan ini mungkin berlaku tidak lama, dalam tempoh beberapa hari sahaja, besar kemungkinan, harga akan turun dengan keadaan tidak menentu, namun jika meningkat lagi, Alhamdulillah,” katanya.
Selain itu, Rosli Napiah, 60, dari Merbok berkata, setakat ini, harga yang dijual kepada pembeli sekitar RM2.40 sekilogram meningkat kepada RM2.80 sekilogram sejak bulan lalu.
Menurutnya, peningkatan harga kemungkinan didorong permintaan tinggi akibat kekurangan hasil getah disebabkan cuaca panas melanda Kedah.
"Alhamdulillah kalau naik sehingga RM4 sekilogram, memang kita seronok sangat sebab membantu mengurangkan beban sepanjang Ramadan dan ketibaan Syawal tidak lama lagi,” jelasnya.
Selain itu, Siti Sarah Che Tan, 64, turut mengakui cuaca panas yang melanda beberapa lokasi di Kedah menyebabkan hasil susu getah berkurangan berbanding kebiasaan.
"Setakat ini, saya kumpulkan sekerap dua minggu sekali, baru boleh jual kerana hasil agak berkurangan, kemungkinan itu salah satu faktor harga meningkat,” katanya.
Selain itu, Ramli Mat Piah, 64, berkata, secara kebiasaan, hasil sekerap meningkat sekitar September - Oktober di mana ketika itu taburan hujan turut meningkat, namun kekangan bagi penoreh ketika mahu melakukan kerja-kerja menoreh dalam cuaca hujan.
"Jika naik sehingga RM4 sekilogram memang seronoklah, kami juga memohon agar harga yang ditetapkan terus kekal, tidak berubah-ubah bagi memudahkan urusan jual beli pada masa akan datang,” katanya.
Difahamkan, penetapan harga bagi sekilogram getah sekerap di beberapa daerah di negeri Kedah, tidak seragam dan sentiasa berubah-ubah antaranya termasuk Padang Terap (RM3.72), Pendang (RM3.65) dan Baling (RM3.10).
https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/655526
Sumber : Sinar Harian