KUALA LUMPUR, 10 Mei- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup stabil hari ini, didorong oleh kenaikan dalam penanda aras harga minyak mentah berikutan sentimen telah dirangsang oleh ekonomi China yang semakin baik dan keyakinan baharu mengenai pengurangan kadar faedah global, kata peniaga.
Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dikekang oleh petunjuk lemah dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan konflik Asia Barat yang berterusan menjejaskan sentimen global.
“Kontrak niaga hadapan getah Jepun merosot pada Jumaat, dijejaskan oleh permintaan yang tidak menentu dalam keadaan ekonomi yang suram di negara-negara pembeli getah utama, walaupun harga minyak yang tinggi dan kelemahan yen yang memberikan sedikit sokongan kepada pasaran,” katanya
kepada Bernama.
Harga minyak dilaporkan meningkat dalam perdagangan Asia pada Jumaat dan diramal menyaksikan minggu yang sengit selepas petunjuk positif terhadap permintaan bagi pengimport utama China, manakala harapan kepada gencatan senjata bagi konflik Timur Tengah dirasakan tidak mungkin.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) tidak berubah pada 767.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 0.5 sen kepada 725.5 sen sekilogram.
Sementara itu, pada pukul 5.00 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 764.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 724.5 sen sekilogram. -BERNAMA
https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-malaysia-ditutup-stabil-didorong-kenaikan-harga-minyak
Sumber : Berita RTM