KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini dengan penanda aras Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) merekodkan paras tertinggi 24 bulan, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan langkah rangsangan berterusan di China, kata seorang peniaga.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 melonjak 21 sen kepada 760.5 sen sekilogram (kg), tertinggi sejak Februari 2022 manakala susu getah pukal naik 1.5 sen kepada 688.5 sen sekilogram pada tengah hari.

Peniaga itu memberitahu Bernama bahawa aliran menaik dalam pasaran fizikal juga selari dengan pasaran fizikal getah serantau di tengah-tengah kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Beliau menambah niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini selepas merosot selama dua hari, didorong oleh pasaran saham domestik yang meningkat tinggi dan jangkaan pengukuhan yang berterusan tahun ini.

"Pengendali pasaran dilihat boleh menyerap kekurangan getah asli global yang semakin teruk," katanya.

Pada 5.05 petang, harga bagi penanda aras minyak mentah Brent naik 0.33 peratus kepada AS$83.30 setong.

Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 756 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 693 sen sekilogram. - BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/pasaran-getah-ditutup-kukuh-smr-20-catat-paras-tertinggi-24-bulan-459409

 

Sumber : Astro Awani