Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang menyiapkan kertas Kabinet bagi mengatasi pelbagai permasalahan yang melanda pekebun kecil getah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara isu yang akan dibangkitkan dalam kertas Kabinet berkenaan adalah seperti penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP), kekurangan tenaga kerja serta kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh di seluruh negara.

"Terdapat kira-kira 420,000 hektar (tanaman getah) yang tidak ditoreh. Saya juga bertemu dengan persatuan pekebun-pekebun kecil dan kami bincang beberapa kaedah baharu cara untuk mengatasinya termasuk berkenaan soal harga lantai getah.

"Walaupun kerajaan telah meningkatkan harga lantai getah dengan lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, saya fikir kita harus lakukan sesuatu kerana lateks sahaja yang diimport mencecah RM6 bilion setahun, sedangkan kita adalah pengeluar getah asli yang terbesar," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut berpendapat pendekatan teknologi dan pemasaran baharu perlu dilakukan agar pembelaan terhadap nasib pekebun kecil getah di negara ini dapat dibantu.

Terdahulu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mencelah meminta kerajaan mengambil pendekatan khusus supaya hasil dan keperluan getah negara dapat dicapai sewajarnya memandangkan terdapat segelintir pekebun kecil yang terpaksa menebang pokok getah serta menanam tumbuhan lain apabila penyakit LDP menyerang ladang mereka.

Ahmad Zahid berkata seluas 63,239.80 hektar kebun milik pekebun kecil di seluruh negara dikenal pasti dijangkiti penyakit LDP di seluruh negara.

"Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah berperanan melaksanakan program rawatan dan pencegahan penyakit LDP dengan kaedah semburan bahan kimia dalam empat pusingan setahun," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sentiasa mendukung tatakelola atau tadbir urus baik dengan berpaksikan kepada kerajaan yang memerintah dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan golongan sasar terutama di kawasan desa.

"Dalam hal ini, kami bertindak secara profesional dan kami tahu bahawa yang penting ialah fokus kepada pembangunan minda, akhlak dan pendidikan agama kepada anak-anak ini yang berada di peringkat prasekolah sama ada tabika atau taska," katanya menjawab dakwaan Kemas digunakan untuk tujuan politik.

Berhubung isu rungutan peneroka Felda terhadap kadar potongan hutang ladang yang terlampau tinggi, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi bagi membincangkan perkara itu.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1069068/kertas-kabinet-mengenai-isu-pekebun-kecil-getah-sedang-disiapkan

 

Sumber : Harian Metro