KOTA BHARU: Hayat tanaman getah di negara ini dijangka hanya mampu bertahan 15 tahun lagi jika tiada langkah segera diambil.
Berdasarkan rekod Lembaga Getah Malaysia, jumlah keluasan tanaman getah pada 1990 adalah 1.8 juta hektar, namun berkurangan hampir 800,000 hektar kepada 1.08 juta hektar pada 2015 seterusnya 1.07 juta hektar, dua tahun kemudian.
Malah, lebih 500,000 hektar kebun getah tidak bertoreh di negara ini berikutan para pekebun yang sudah pun berusia, ditambah harga komoditi itu yang tidak menentu.
Masalah-masalah ini boleh mendorong pekebun beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit bagi menggantikan tanaman getah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab. Rahman berkata, kebanyakan yang terlibat dengan industri getah di negara ini sudah berusia 50 tahun dan ke atas.
Lebih membimbangkan, menurutnya, generasi muda hari ini seolah-olah sudah tidak berminat untuk melibatkan diri dalam tanaman getah susulan ketidaktentuan harga.
“Melihat kepada situasi ketika ini, saya jangka getah yang sedia ada akan ditukar kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan sebagainya.
“Perkara itu pastinya akan menjejaskan pengeluaran hasil getah negara,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kameruzaman memberitahu, kerajaan perlu mengambil langkah segera dalam usaha menyelamatkan industri getah negara daripada terkubur pada masa akan datang.
Katanya, penetapan zon getah negara dilihat sebagai salah satu cadangan baik bagi memastikan tanaman getah terus dapat bersaing dengan komoditi lain.
“Bila kawasan itu diisytiharkan sebagai zon getah, lokasi tersebut tidak dibenarkan untuk tukar kepada tanaman lain.
“Bagaimanapun, situasi itu mesti bersifat menang-menang kepada pekebun dengan menyediakan insentif setimpal usaha mereka dalam memberi tumpuan terhadap tanaman getah,” ujarnya.
Beliau menambah, bagi menyokong perjalanan zon getah itu, kerajaan perlu menyediakan industri hiliran di kawasan tersebut bagi membolehkan produk getah terus dikeluarkan.
“Malaysia sepatutnya telah mencapai tahap teknologi tertinggi dalam menghasilkan produk-produk berasaskan getah yang mampu menaikkan harga bahan mentah keluaran tempatan.
“Kita tidak sepatutnya berada di tahap lama iaitu sebagai pengeksport bahan mentah komoditi tetapi menguasai industri pengeluaran produk-produk berasaskan getah.
“Jangan hanya berpuas hati sebagai pengeluar sarung tangan getah. Tambahan pula bahan mentah untuk menghasilkan sarung tangan iaitu lateks adalah import dari negara jiran,” tegasnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita/2024/02/industri-getah-pupus-15-tahun-lagi/#google_vignette
Sumber : Utusan