KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,965 tan metrik pada Mac 2024, meningkat 7.0 peratus berbanding Februari 2024 (55,083 tan metrik).

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac 2024 diikuti Jerman (9.3%), Emiriah Arab Bersatu (9.2%), India (6.9%) dan Pakistan (4.5%).

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, pengeluaran getah asli menurun 9.2 peratus pada bulan Mac 2024 (26,966 tan metrik) berbanding pada bulan Februari 2024 (29,691 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.8 peratus (Mac 2023: 27,188 tan metrik).

Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.5%) berbanding sektor estet (11.5%), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jumlah stok getah asli pada Mac 2024 menurun 3.3 peratus kepada 222,455 tan metrik berbanding 229,940 tan metrik pada Februari 2024.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peritus diikuti kilang pengguna getah (7.5%) dan estet getah (0.1%).

Harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 8.2 peratus (Mac 2024: 740.37 sen sekilogram; Februari 2024: 684.19 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat sebanyak 5.9 peratus (Mac 2024: 640.54 sen sekilogram; Februari 2024: 604.59 sen sekilogram).

Prestasi suku pertama 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.5 peratus kepada 86,944 tan metrik berbanding 93,956 tan metrik pada suku keempat 2023.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2024 pula mencatatkan peningkatan 3.7 peratus berbanding suku pertama 2023 (83,848 tan metrik). – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/2024/05/13/eksport-getah-mac-naik-7-0/

 

Sumber : Malaysia Gazette