PETALING JAYA: Eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,965 tan metrik pada Mac 2024, meningkat 7.0 peratus berbanding 55,083 tan metrik pada Februari 2024.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac diikuti Jerman (9.3 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), India (6.9 peratus) dan Pakistan (4.5 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.14 billion
pada Mac 2024, meningkat 3.9 peratus berbanding RM1.1 bilion pada Februari 2024.
Bagaimanapun, ujar beliau, pengeluaran getah asli menurun 9.2 peratus pada Mac iaitu 26,966 tan metrik berbanding 29,691 tan metrik pada bulan sebelumnya.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.8 peratus (Mac 2023: 27,188 tan metrik). Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.5 peratus) berbanding sektor estet (11.5 peratus).
“Jumlah stok getah asli pada Mac menurun 3.3 peratus kepada 222,455 tan metrik berbanding 229,940 tan metrik pada Februari.
“Kilang memproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” ujarnya.
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 8.2 peratus (Mac 2024: 740.37 sen sekilogram; Februari 2024:RM684.19 sekilogram) manakala sekerap meningkat sebanyak 5.9 peratus (Mac 2024:RM640.54 sekilogram; Februari 2024: RM604.59 sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 4.2 peratus hingga 8.1 peratus.
Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 5.8 peratus (daripada AS$1.56/kg kepada AS$1.65/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 18.1 peratus (daripada AS$2.02/kg kepada AS$2.39/kg).
Prestasi suku pertama 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.5 peratus kepada 86,944 tan metrik berbanding 93,956 tan metrik pada suku keempat 2023.
Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2024 pula mencatatkan peningkatan 3.7 peratus berbanding suku pertama 2023 (83,848 tan metrik).
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Mac 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur pada Mac apabila G.M.M 20 mencatatkan paras tertinggi baharu sejak April 2017 pada 20 Mac 2024 iaitu pada harga RM805/kg sebelum berkurangan menjelang penghujung bulan.
Pasaran getah asli semakin berkurang dengan jangkaan bekalan getah asli yang terhad berikutan keadaan cuaca dan musim daun luruh.
Namun, rangsangan dan langkah-langkah yang berterusan serta jualan kereta yang lebih baik di China yang disumbangkan oleh kenderaan elektronik (EV) turut memberi sokongan kepada sentimen pasaran. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/ekonomi/2024/05/china-kekal-destinasi-utama-eksport-getah-asli/#google_vignette
Sumber : Utusan