KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis milik syarikat dan syarikat amanah yang mendalangi skim pelaburan haram, dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF), yang didapati mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 pelabur.
SSM memaklumkan, serbuan semalam dijalankan susulan aduan diterima daripada pelabur KDF yang tidak berpuas hati dengan pihak syarikat kerana gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan.
Operasi dijalankan serentak di tiga lokasi berbeza iaitu di KL Sentral, Petaling Jaya dan Seberang Perai dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia.
Hasil serbuan itu, SSM turut menyita rekod akaun syarikat terbabit, dokumen berkaitan penganjuran KDF dan telefon bimbit milik suspek.
"Modus operandi Skim Pelaburan KDF, yang mula ditawarkan kepada orang awam sekitar September 2021 hingga Januari 2023 adalah pelabur dijanjikan dengan pulangan sekitar tiga peratus sebulan dan selepas 12 bulan, pelabur akan menerima semula wang pelaburan mereka.
"Skim ini dikatakan dianjur bagi membiayai projek penanaman pokok kenaf di Chuping, Perlis.
"Siasatan awal turut mendapati skim ini tidak berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang mendalanginya ialah seorang individu bankrap," katanya dalam kenyataan, hari ini.
SSM berkata, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 43, 198 dan 213 Akta Syarikat 2016 serta Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016.
SSM menegaskan, pihaknya memandang serius kesalahan membabitkan penganjuran skim pelaburan yang mengumpul deposit daripada orang awam tanpa kelulusan atau lesen yang sah.
"SSM turut ingin mengingatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko," katanya.
KUALA LUMPUR: Satu mekanisme untuk mengimbangi paras harga getah untuk pasaran eksport dengan kos pengeluaran dan kos sara hidup pekebun kecil dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Mekanisme Harga Getah Untuk Kesinambungan Hidup Pekebun Kecil (LRPM) adalah antara agenda yang diberi perhatian Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) bertujuan mengawal harga getah dalam pasaran antarabangsa.
Justeru, katanya kerajaan memerlukan masa memuktamadkan keputusan itu kerana perlu menunggu persetujuan bersama antara negara pengeluar.
"LRPM merupakan antara agenda utama kerajaan yang dibincangkan dalam kalangan negara-negara pengeluar getah di bawah ANRPC yang terkesan dengan harga getah semasa yang rendah berbanding dengan kenaikan kos pengeluaran dan kos sara hidup.
"Jika dipersetujui oleh setiap negara pengeluar, LRPM dijangka dapat dimuktamadkan dalam tahun ini, yang mana paras harga getah untuk pasaran eksport tidak boleh rendah daripada kombinasi kos pengeluaran dan kos sara hidup pekebun kecil.
"Bagaimanapun, cabaran utama pelaksanaan mekanisme LRPM ini adalah untuk mendapat kesepakatan semua 13 negara anggota di bawah ANRPC, yang mana sebahagian negara anggota juga merupakan negara pengguna getah seperti China dan Singapura.
"Kejayaan LPRM tertakluk kepada persetujuan dan kesepakatan terutamanya negara pengeluar," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang mahu kementerian menyatakan perkembangan cadangan pengenalan mekanisme LRPM di peringkat antarabangsa bagi memastikan harga getah asli dalam julat yang ditetapkan untuk mengurangkan ketidaktentuan harga getah dunia.
Mengulas lanjut penetapan harga getah, Johari berkata ia seperti komoditi lain berorientasikan eksport yang mana dipengaruhi oleh faktor penawaran dan permintaan getah dunia.
Oleh itu, beliau akui bahawa campur tangan kerajaan untuk mengawal dan menstabilkan harga getah tidak mudah.
"Intervensi daripada kerajaan adalah tidak mudah dan pada tahap yang minimum kerana getah hanya sekitar 3.3 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia," katanya.
BERLIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan perihal perdagangan produk berasaskan sawit dalam pertemuannya bersama Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, dalam pertemuan pada Isnin itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama.
"Kami mengadakan perbincangan terkait isu yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara, antaranya melibatkan minyak sawit, produk berasaskan sawit, pendidikan serta perdagangan dan pelaburan," menurut kenyataan berkenaan.
Untuk rekod, Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan
Media juga melapokan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Januari tahun lalu berkata, Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk menghentikan eksport minyak sawit kepada Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindak balas terhadap peraturan penebangan hutan baharu yang dicadangkan EU.
Menurutnya, tindakan itu adalah antara pilihan yang boleh dilakukan negara bagi menangani kempen EU yang sejak beberapa tahun lepas agak negatif terhadap industri minyak sawit.
Selain itu, pertemuan empat mata berkenaan turut membincangkan permasalahan global.
Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia bersama dengan perjuangan Palestin.
"Kami turut menyentuh isu global dan sudah pastinya meliputi perkembangan di Palestin yang mana ia memerlukan bantuan kemanusiaan berterusan daripada semua pihak serta usaha menghentikan kekejaman rejim zionis," kata beliau.
Kunjungan hormat Anwar ke atas Steinmeier berlangsung di Belllevue Palace, Berlin.
Ini merupakan kunjungan balas Perdana Menteri selepas Steinmeier mengadakan lawatan ke Malaysia tahun lalu.
Baru Tahu, Ni Sebab ‘Excavator’ Hiris Pokok Sawit Jadi Kepingan Kecil
Kebiasaannya, kita sering melihat kaedah penebangan dan penumbangan pokok menggunakan jentera jengkaut, bukan?
Kemudian, batang-batang pokok ini akan dibersihkan sama ada dibawa oleh lori atau dilonggokkan di satu tempat oleh jentera berat ini.
Namun, pernahkah anda melihat jengkaut seperti seolah-olah menghiris batang pokok menjadi kepingan kecil?
Baru-baru ini, tular satu klip yang dimuat naik oleh pemuda di platform X mendedahkan proses itu dan menimbulkan persoalan ramai.
Kenapa Hiris Batang Pokok ?
Dalam video yang di kongsikan semula oleh pemilik akaun X @stargazedkhai, memaparkan batang pokok kelapa sawit dipotong menjadi kepingan kecil.
Sebenarnya, kaedah ini dikenali sebagai kaedah 'chipping bucket' seperti yang dimaklumnya.
Kaedah ini bertujuan untuk mengelakkan kumbang membiak dan merosakkan anak pokok kelapa sawit sewaktu penanaman semula.
"Untuk pengetahuan semua, ni chipping (kaedah) untuk pokok sawit supaya kumbang tidak membiak dan makan anak pokok semasa replanting," tulisnya.
Apa itu Kaedah Chipping Bucket?
Chipping Bucket atau proses pemotongan ini bertujuan untuk mengecilkan saiz batang dan dahan kelapa sawit supaya proses reput dapat berlaku dengan lebih cepat.
Selain itu, manfaat daripada proses ini adalah mampu mengelakkan haiwan perosak dan penyakit daripada membuat sarang d bahagian pokok yang telah ditebang.
Menurut Oil Palm Pal, mana-mana pokok kelapa sawit tua yang tidak lagi dimahukan akan ditumbangkan. Bagaimanapun, ia perlu ditumbangkan termasuk akar pokok perlu dibuang.
Hal ini kerana, anak sawit baharu berpotensi dijangkiti serangan perosak jika akar pokok lama tidak dibuang.
Kemudian, pokok yang ditumbangkan akan dicincang menjadi kepingan sebelum dijemur di bawah cahaya matahari.
Serangan Haiwan Perosak Sawit
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), anak sawit mudah terdedah kepada pelbagai jenis perosak yang menyerang pada peringkat awal penanaman.
Lazimnya, ia disebabkan oleh dua jenis perosak iaitu serangga dan haiwan mamalia.
Antara serangga perosak ini termasuklah kumbang kaboi, kumbang, badak, anai-anai dan belalang, manakala perosak haiwan mamalia pula adalah tikus, landak, babi hutan, monyet dan gajah.
Kota Bharu: Kira-kira 99.9 peratus banduan di negeri ini mendapat kerja dalam pelbagai sektor di bawah program Corporate Smart Internship (CSI).
Pengarah Penjara negeri, Mat Yaacob berkata, kesemua banduan atau dipanggil sebagai prospek itu terdiri daripada mereka yang menjalani Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan 48 majikan dalam pelbagai sektor atau syarikat, antaranya perkilangan, ladang dan spa.
"Dengan kerjasama ini, ia memberi lebih peluang pekerjaan kepada banduan dan mereka diterima bekerja dengan syarikat. Kebanyakan banduan ini ditawarkan bekerja sebaik dibebaskan.
"Ini menunjukkan bahawa majikan semakin terbuka untuk mengambil prospek (banduan) untuk bekerja dengan syarikat mereka," katanya pada sidang media selepas Program Hari penjara ke-234 peringkat Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Pemangku Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Mohamad Saizi Ibrahim menyerahkan tugas kepada Pengarah baharu, Kamarulzaman Ismail.
Mengulas lanjut Mat berkata, program CSI di negeri ini berjaya berikutan mendapat kerjasama yang sangat baik dengan majikan dan berharap lebih ramai dalam kalangan mereka menyertai program itu.
"Kita juga bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia cawangan Kelantan dan 97 banduan sudah mendapat sijil penoreh getah serta sudah masuk ke ladang untuk bekerja," katanya.