KUALA LUMPUR, 20 September- Pengurusan industri buluh tempatan perlu diselaraskan segera bagi mempromosi dan memajukan sektor berkenaan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata industri buluh boleh dijadikan satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan menjana ekonomi negara.
Jelasnya, permintaan buluh tempatan dari negara-negara luar juga sangat menggalakkan.
Malah nilai eksport produk buluh pada tahun 2021 juga meningkat kepada RM8.41 juta berbanding RM8.28 juta pada tahun 2020.
Walaubagaimanapun, industri buluh tempatan masih kecil dan hanya mempunyai 567 penanam buluh yang terbabit secara langsung dalam industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh dan kraftangan.
"Kerana dunia sekarang dah mula bercakap dan mula menggunakan produk daripada buluh, sampai membuat bangunan pun daripada buluh, baju dan sebagainya.
"Jadi saya pun terkejut bila pergi negara Eropah, negara barat, mereka dah mula bercakap mengenai barangan dari buluh sedangkan mereka tiada buluh.
"Maknanya potensi buluh ini sangat bagus untuk masa depan ekonomi negara," katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan World Bamboo Day Malaysia 2022 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong, di sini hari ini.
Tambah Zuraida, FRIM juga digesa menyasarkan negara-negara dunia ketiga untuk memindahkan
kepakaran teknologi mereka sekali gus menjadi sumber pendapatan negara.
Ini kerana kebanyakan negara yang sedang membangun seperti Bangladesh, India, Pakisan dan Kemboja masih belum mempunyai kepakaran hutan seperti FRIM.
Dengan kepakaran itu terbukti bahawa Malaysia telah mandahului dari segi teknologi, produktiviti serta mempunyai kualiti dalam industri buluh.
https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/47265-pengurusan-industri-buluh-perlu-diselaras-tingkat-potensi-komersial-zuraida
Sumber: Berita RTM






