SIARAN MEDIA 2021

si

Jata

KENYATAAN MEDIA

KPPK SERU LEBIH RAMAI PEKEBUN KECIL PERSENDIRIAN SERTAI KOPERASI PENANAM SAWIT MAMPAN

1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini merasmikan program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Serian, Sarawak anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Pada majlis ini, Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Serian Berhad menerima cek sumbangan sebanyak RM73,950 untuk Skim Bantuan Pembelian Jentera selain seramai 30 wakil pekebun kecil persendirian (PKP) memperoleh sumbangan insentif berupa kelengkapan perlindungan diri (PPE).

2. Sehingga 31 Oktober 2021, terdapat seramai 40,429 PKP berlesen di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan tanaman sawit seluas 232,765.18 hektar di Sarawak. Sebanyak 27,633 daripada PKP ini dengan keluasan tanaman 158,522.34 hektar atau 68 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit PKP berlesen, telah memiliki Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di bawah 32 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) negeri ini.

3. Jumlah itu termasuk sebanyak 559 PKP yang merupakan ahli SPOC Q6 (Tebedu) dan yang berdaftar di bawah SPOC Q5 (Serian) seramai 861 orang. Bagi meringankan beban pekebun kecil untuk memperoleh MSPO, insentif sebanyak RM25 juta disediakan oleh Kerajaan pada tahun ini. Insentif ini merangkumi pembiayaan kos latihan, pengauditan, PPE, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.

4. Sebanyak 69 KPSM ditubuhkan termasuk di Sabah (27) dan Sarawak (18). Data MPOB merekodkan, daripada 40,429 PKP berlesen di Sarawak, hanyak 3,476 pekebun kecil sahaja yang menjadi ahli KPSM. YB Timbalan Menteri menyeru supaya lebih ramai pekebun kecil menyertai KPSM Daerah Serian Berhad berikutan hanya 543 pekebun kecil yang menjadi ahli daripada seramai 2,086 PKP yang ada.

5. KPPK berharap lebih ramai PKP menyertai KPSM yang dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka dengan lebih tersusun. Para pekebun kecil diminta berhubung dengan Pegawai TUNAS MPOB untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan KPSM.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Serian, Sarawak
10 Disember 2022

  Jata

KENYATAAN MEDIA

MPB PERKENAL APLIKASI LADAGO BANTU PEKEBUN KECIL PANTAU PENYAKIT, TINGKAT PENGELUARAN LADA
¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin hari ini melancarkan aplikasi LadaGO dan Permohonan Bantuan Secara Dalam Talian (PBSO) oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) sempena Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 di Betong, Sarawak.
2. Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 melibatkan penyertaan semua Agensi serta Majlis di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangkumi subsektor sawit, getah, koko dan lada yang dijadualkan diadakan di seluruh negara.
3. Aplikasi LadaGO merupakan satu inisiatif untuk membantu pegawai pengembangan MPB serta pengusaha tanaman lada dalam pengurusan masalah penyakit dan nutrien pokok lada. Ia akan menjadi saluran pengesanan awal masalah berkenaan bagi memastikan pengeluaran agrikomoditi itu yang mampan di samping mampu menjimatkan kos dan masa dalam perihal berkaitan pengurusan penyakit.
4. Aplikasi LadaGO ini dibangunkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne University of Technology Sarawak. Aplikasi ini juga telah merangkul anugerah Outstanding Innovation Award dan Gold Award sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2021 pada 25 hingga 29 Oktober lalu.
5. Sistem PBSO yang dibangunkan oleh MPB akan diintegrasikan bersama sistem pangkalan data e-Pekebun MPB bertujuan untuk meningkatkan capaian perkhidmatan kepada individu yang ingin membuat permohonan bantuan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) secara dalam talian serta menyemak status permohonan pada bila-bila masa.
6. Pada program jelajah kali ini, seramai 10 pekebun lada mewakili 10 rumah panjang menerima bantuan STLB dan STLM. Kesemua penerima ini merupakan pekebun dari Dewan Undangan Negeri Layar, Betong.
7. KPPK akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan agrikomoditi dipertingkatkan. Ini penting agar ia terus berdaya saing dan mapan disamping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara selaras aspirasi Keluarga Malaysia.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Betong, Sarawak
28 November 2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

HAMPIR 500,000 HEKTAR KEBUN SAWIT MILIK PEKEBUN KECIL DI SELURUH NEGARA TELAH MEMPEROLEH PERSIJILAN MSPO

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Marang, Terengganu. Program diadakan bertujuan memberi penerangan kepada pekebun kecil sawit mengenai kepentingan dan keperluan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan penanam sawit terdiri daripada pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria MSPO.

2. Pensijilan MSPO adalah antara langkah bagi memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa. Pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat hidupan liar. Tuduhan ini telah menjejaskan imej minyak sawit Malaysia. Bagi menangkis tohmahan negatif ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan imej industri sawit.

3. Usaha bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil bagi Pensijilan MSPO melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) sedang giat dilaksanakan. Melalui SPOC, pekebun kecil akan dibantu oleh Pegawai Tunas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya melaksanakan pensijilan MSPO di kebun masing-masing. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 162 SPOC di bawah seliaan MPOB telah berjaya memperoleh MSPO membabitkan 126,496 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 499,195.97 hektar.

4. Kerajaan menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada tahun 2019 bagi membiayai kos pensijilan MSPO. Insentif yang disediakan merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

5. Kerajaan melalui KPPK juga telah mengambil inisiatif menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Tujuan penubuhan KPSM adalah untuk menyatukan pekebun kecil bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu di Semenanjung (24), Sabah (27) dan Sarawak (18) dengan keahlian berjumlah 7,043 pekebun kecil.

6. Antara aktiviti ekonomi di bawah KPSM adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan pusat timbang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 60 pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan BTS sehingga 217,675.97 tan. Di Terengganu, sebanyak tiga KPSM ditubuhkan iaitu KPSM Daerah Besut Berhad, KPSM Daerah Hulu Terengganu Berhad dan KPSM Kuala Nerus Berhad. Jumlah keahlian untuk KPSM di negeri ini adalah 130 ahli.

7. Secara amnya pekebun kecil mendapat manfaat dari kewujudan KPSM apabila pesaing-pesaing juga telah meningkatkan tawaran harga kepada pekebun setara dengan tawaran harga KPSM. Selain itu, penggunaan mesin pemotong buah sawit atau Cantas bagi penuaian buah sawit terbukti berupaya meningkatkan produktiviti tuaian sebanyak dua kali ganda, daripada 1.8 tan kepada 3.2 tan BTS bagi seorang pekerja sehari berbanding penuaian menggunakan galah secara manual.

8. KPPK berharap usaha dapat dipertingkatkan dengan lebih ramai pekebun kecil persendirian memperoleh pensijilan MSPO pada masa akan datang, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Marang, Terengganu
27 November 2021

 

 

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

JELAJAH AGRIKOMODITI #KELUARGA MALAYSIA BERI MANFAAT MENANG-MENANG UNTUK KPPK DAN PEKEBUN KECIL GETAH

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Dewan Budiman, Kg Kepah, Hulu Terengganu, Terengganu. Program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia merupakan program anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai medium untuk berkongsi maklumat dan aktiviti Kementerian dengan masyarakat setempat.

2. Pada program ini, para pekebun kecil diberikan taklimat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), sistem RRIMniaga, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta pendedahan berkaitan penyakit Pestalotiopsis. Selain itu, YB Meteri turut berdialog dengan pekebun kecil selain berkongsi maklumat projek terkini Kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.

3. Pada majlis berkenaan, pekebun kecil terbabit menerima sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) di bawah program Penyerahan Bantuan Prihatin MRC. Sumbangan itu termasuk alat peranti tablet bersama pelan data Internet kepada keluarga terpilih.

4. YB Menteri berpeluang melawat Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Kg Kepah Hulu Terengganu. Projek JLPK ini memberi impak menyeluruh ke atas pembangunan sosio ekonomi kawasan luar bandar dengan penyediaan kemudahan asas jalan ladang. Pembinaan ini dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

5. KPPK berharap program dialog seperti ini akan diteruskan dan menjadi medan kepada pekebun kecil getah menyampaikan maklumat secara langsung kepada Kerajaan seterusnya Kementerian dapat bertindak serta merancang dengan lebih baik untuk masa hadapan yang lebih terjamin kepada golongan berkenaan.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Hulu Terengganu, Terengganu
27 November 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA
PEROLEHAN EKSPORT PRODUK AGRIKOMODITI TERUS CATAT
LONJAKAN RM155 BILION PADA SUKU KETIGA 2021


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memaklumkan perolehan eksport produk agrikomoditi bagi suku ketiga tahun 2021 melonjak sebanyak 49 peratus kepada RM155 bilion berbanding RM104 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2020. Faktor peningkatan ini adalah berikutan kenaikan harga harian minyak sawit mentah sehingga yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM5,404 setiap tan dan pertambahan lebih 100 peratus eksport sarung tangan getah.


2. Sehingga September lalu, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 48 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM74 bilion. Nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya adalah RM52 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 6 peratus.


3. Pandemik COVID-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia. Bagaimanapun isu berkenaan dijangka dapat diatasi apabila kemasukan 32,000 pekerja asing di sektor perladangan direalisasikan mulai awal bulan depan.


4. Bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 38 peratus kepada keseluruhan nilai eksport berkenaan, telah meningkat sebanyak 89 peratus kepada RM59 bilion berbanding RM31 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. Nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain terus melonjak sebanyak 111 peratus kepada RM49 bilion berbanding RM23 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu. Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat kenaikan sebanyak 118 peratus kepada RM47 bilion berbanding RM22 bilion pada suku ketiga 2020.


5. Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 10.3 peratus. Nilai eksport sektor ini telah meningkat 1.15 peratus kepada RM16 bilion dibandingkan RM15.7 bilion pada tempoh sama 2020.


6. Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak 10 peratus kepada RM5.1 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM4.6 bilion. Senario itu turut membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 18 peratus kepada RM100 juta berbanding RM85 juta pada tempoh sama 2020.


7. Berdasarkan prestasi yang direkodkan, KPPK yakin dapat mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik menjelang suku keempat 2021 berbanding tahun 2020. Kementerian juga yakin sasaran nilai eksport sebanyak RM180 bilion tahun ini mampu dicapai.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
19 November 2021