
KENYATAAN MEDIA
YB TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA
PAMERAN PRODUK BERASASKAN BULUH OLEH LEMBAGA PERINDUSTRIAN KAYU MALAYSIA (MTIB)
DI BANGUNAN UTAMA PARLIMEN | 8 OKTOBER 2019 (SELASA)
1. Pada hari ini, 8 Oktober 2019, YB Menteri Industri Utama (MPI) telah menyempurnakan Pameran Produk Berasaskan Buluh yang dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
2. Buluh sememangnya sinonim dengan masyarakat Malaysia dengan produk kraftangan dan kegunaan harian. Seiring dengan perkembangan semasa, pelbagai inovasi dan produk novelty telah dikembangkan. Diantaranya adalah produk perabot, papan laminasi, lantai dan fabrik.
3. Secara umumnya, sumbangan ekonomi industri buluh Malaysia adalah masih kurang di mana nilai eksport produk buluh pada tahun 2018 bernilai RM9.9juta berbanding dengan saiz pasaran buluh global yang dianggarkan sebanyak USD68.8bilion setahun. Produk di bawah kategori other articles of wood daripada buluh merupakan penyumbang utama eksport Malaysia pada tahun 2018 dengan nilai sebanyak RM3.8juta diikuti oleh wood charcoal bernilai RM2.5juta dan tableware & kitchenware dengan nilai RM1.5juta.
4. Pembangunan industri buluh secara kluster akan dimulakan dengan penubuhan tapak semaian buluh di Taman Industri Perabot Lahat, Ulu Kinta, Perak seluas 1.7hektar (4.2 ekar). Pembangunan ini selari dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia untuk tahun 2011-2020 yang menggariskan pembangunan industri buluh secara menyeluruh. Selain itu, pembangunan makmal tisu kultur untuk pengeluaran benih buluh dan penyelidikan untuk penghasilan sumber pokok buluh induk yang berkualiti dengan anggaran pengeluaran sebanyak 100,000 anak benih buluh sebulan juga sedang dirangka dan akan dilaksanakan mulai tahun 2020 dengan peruntukan awal sebanyak RM7juta.
5. Antara produk yang dipamerkan daripada pelbagai spesies buluh dalam pameran ini adalah bamboo strip, bamboo slips, bamboo plank, perabot buluh, basikal buluh, gitar buluh, lantai buluh, dinding buluh, tapak lampu buluh, arang buluh, beg buluh, aksesori buluh, produk fabrik buluh dan sebagainya.
6. Buluh juga turut digunakan sebagai komponen di dalam industri pembinaan dan dikenali sebagai ‘keluli hijau.’ Produk daripada buluh ini telah digunakan untuk pembinaan bangunan ikonik seperti Menara Jam Buluh di Pengkalan Hulu, Perak dan Masjid Buluh di Gua Musang, Kelantan.
7. Pameran produk buluh ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umum mengenai potensi buluh yang versatil dan mesra alam selain dilihat sebagai pendapatan sumber ekonomi baharu yang boleh diterokai. Program ini juga dilihat bertepatan dengan hasrat Kementerian ini untuk mengetengahkan buluh sebagai sumber bahan mentah alternatif selain kayu.
8. Kementerian bersama-sama dengan MTIB akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan industri buluh akan dipertingkatkan. Inisiatif ini adalah penting agar industri buluh dapat dibangunkan sebagai salah satu agri-komoditi bagi menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
8 OKTOBER 2019






