KENYATAAN MEDIA
MPB PERKENAL APLIKASI LADAGO BANTU PEKEBUN KECIL PANTAU PENYAKIT, TINGKAT PENGELUARAN LADA
¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin hari ini melancarkan aplikasi LadaGO dan Permohonan Bantuan Secara Dalam Talian (PBSO) oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) sempena Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 di Betong, Sarawak.
2. Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 melibatkan penyertaan semua Agensi serta Majlis di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangkumi subsektor sawit, getah, koko dan lada yang dijadualkan diadakan di seluruh negara.
3. Aplikasi LadaGO merupakan satu inisiatif untuk membantu pegawai pengembangan MPB serta pengusaha tanaman lada dalam pengurusan masalah penyakit dan nutrien pokok lada. Ia akan menjadi saluran pengesanan awal masalah berkenaan bagi memastikan pengeluaran agrikomoditi itu yang mampan di samping mampu menjimatkan kos dan masa dalam perihal berkaitan pengurusan penyakit.
4. Aplikasi LadaGO ini dibangunkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne University of Technology Sarawak. Aplikasi ini juga telah merangkul anugerah Outstanding Innovation Award dan Gold Award sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2021 pada 25 hingga 29 Oktober lalu.
5. Sistem PBSO yang dibangunkan oleh MPB akan diintegrasikan bersama sistem pangkalan data e-Pekebun MPB bertujuan untuk meningkatkan capaian perkhidmatan kepada individu yang ingin membuat permohonan bantuan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) secara dalam talian serta menyemak status permohonan pada bila-bila masa.
6. Pada program jelajah kali ini, seramai 10 pekebun lada mewakili 10 rumah panjang menerima bantuan STLB dan STLM. Kesemua penerima ini merupakan pekebun dari Dewan Undangan Negeri Layar, Betong.
7. KPPK akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan agrikomoditi dipertingkatkan. Ini penting agar ia terus berdaya saing dan mapan disamping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara selaras aspirasi Keluarga Malaysia.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Betong, Sarawak
28 November 2021