KENYATAAN MEDIA
HAMPIR 500,000 HEKTAR KEBUN SAWIT MILIK PEKEBUN KECIL DI SELURUH NEGARA TELAH MEMPEROLEH PERSIJILAN MSPO
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Marang, Terengganu. Program diadakan bertujuan memberi penerangan kepada pekebun kecil sawit mengenai kepentingan dan keperluan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan penanam sawit terdiri daripada pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria MSPO.
2. Pensijilan MSPO adalah antara langkah bagi memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa. Pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat hidupan liar. Tuduhan ini telah menjejaskan imej minyak sawit Malaysia. Bagi menangkis tohmahan negatif ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan imej industri sawit.
3. Usaha bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil bagi Pensijilan MSPO melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) sedang giat dilaksanakan. Melalui SPOC, pekebun kecil akan dibantu oleh Pegawai Tunas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya melaksanakan pensijilan MSPO di kebun masing-masing. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 162 SPOC di bawah seliaan MPOB telah berjaya memperoleh MSPO membabitkan 126,496 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 499,195.97 hektar.
4. Kerajaan menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada tahun 2019 bagi membiayai kos pensijilan MSPO. Insentif yang disediakan merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).
5. Kerajaan melalui KPPK juga telah mengambil inisiatif menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Tujuan penubuhan KPSM adalah untuk menyatukan pekebun kecil bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu di Semenanjung (24), Sabah (27) dan Sarawak (18) dengan keahlian berjumlah 7,043 pekebun kecil.
6. Antara aktiviti ekonomi di bawah KPSM adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan pusat timbang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 60 pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan BTS sehingga 217,675.97 tan. Di Terengganu, sebanyak tiga KPSM ditubuhkan iaitu KPSM Daerah Besut Berhad, KPSM Daerah Hulu Terengganu Berhad dan KPSM Kuala Nerus Berhad. Jumlah keahlian untuk KPSM di negeri ini adalah 130 ahli.
7. Secara amnya pekebun kecil mendapat manfaat dari kewujudan KPSM apabila pesaing-pesaing juga telah meningkatkan tawaran harga kepada pekebun setara dengan tawaran harga KPSM. Selain itu, penggunaan mesin pemotong buah sawit atau Cantas bagi penuaian buah sawit terbukti berupaya meningkatkan produktiviti tuaian sebanyak dua kali ganda, daripada 1.8 tan kepada 3.2 tan BTS bagi seorang pekerja sehari berbanding penuaian menggunakan galah secara manual.
8. KPPK berharap usaha dapat dipertingkatkan dengan lebih ramai pekebun kecil persendirian memperoleh pensijilan MSPO pada masa akan datang, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Marang, Terengganu
27 November 2021