KENYATAAN MEDIA
JELAJAH AGRIKOMODITI #KELUARGA MALAYSIA BERI MANFAAT MENANG-MENANG UNTUK KPPK DAN PEKEBUN KECIL GETAH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Dewan Budiman, Kg Kepah, Hulu Terengganu, Terengganu. Program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia merupakan program anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai medium untuk berkongsi maklumat dan aktiviti Kementerian dengan masyarakat setempat.
2. Pada program ini, para pekebun kecil diberikan taklimat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), sistem RRIMniaga, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta pendedahan berkaitan penyakit Pestalotiopsis. Selain itu, YB Meteri turut berdialog dengan pekebun kecil selain berkongsi maklumat projek terkini Kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.
3. Pada majlis berkenaan, pekebun kecil terbabit menerima sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) di bawah program Penyerahan Bantuan Prihatin MRC. Sumbangan itu termasuk alat peranti tablet bersama pelan data Internet kepada keluarga terpilih.
4. YB Menteri berpeluang melawat Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Kg Kepah Hulu Terengganu. Projek JLPK ini memberi impak menyeluruh ke atas pembangunan sosio ekonomi kawasan luar bandar dengan penyediaan kemudahan asas jalan ladang. Pembinaan ini dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
5. KPPK berharap program dialog seperti ini akan diteruskan dan menjadi medan kepada pekebun kecil getah menyampaikan maklumat secara langsung kepada Kerajaan seterusnya Kementerian dapat bertindak serta merancang dengan lebih baik untuk masa hadapan yang lebih terjamin kepada golongan berkenaan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Hulu Terengganu, Terengganu
27 November 2021