KENYATAAN MEDIA
PEROLEHAN EKSPORT COKLAT NEGARA MENINGKAT
KEPADA RM650 JUTA JANUARI-OGOS 2022
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Nilai, Negeri Sembilan, bertujuan meninjau pembangunan aktiviti penyelidikan hiliran koko yang dijalankan di pusat itu. Terdahulu, beliau turut melawat kilang pembuatan coklat dan konfeksi, Beryl’s Chocolate and Confectioneries Sdn Bhd di Sri Kembangan, Selangor.
2. Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Nilai adalah pusat bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) hiliran serta bioteknologi, perkhidmatan analisis biji dan produk koko, pembangunan usahawan coklat buatan tangan. Selain itu, pusat inovasi tersebut turut mengeluarkan blok coklat dan produk coklat berjenama Chocolate Royale selain menempatkan unit pelesenan dan kawalan kualiti koko.
3. Antara penyelidikan hiliran koko yang sedang dilaksanakan oleh LKM adalah penghasilan produk ais krim lemak, kajian perisa, bahan wangian, tablet minuman, kajian mengenai keselamatan produk dan produk penjagaan diri. Pada tahun ini, produk kosmetik berasaskan koko (compact powder, BB Cushion dan Liquid Foundation) telah berjaya ke tahap prakomersial. Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Makmal Khidmat Analisis LKM juga telah diakreditasi berdasarkan standard ISO/IEC 17025:2017.
4. Sementara lawatan YB Menteri ke Beryl’s Chocolate and Confectioneries Sdn Bhd adalah untuk melihat proses pembuatan produk akhir koko dan coklat. Syarikat ini adalah antara pengilang coklat dan konfeksi terbesar negara. Pembuatan coklat menyumbang kepada sektor hiliran industri koko bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, perolehan eksport coklat juga telah meningkat sebanyak 11 peratus iaitu RM649.9 juta berbanding RM585.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus berusaha bagi memastikan subsektor koko dan industri coklat negara terus berkembang dengan pesat selain perancangan menjadikan negara ini hab coklat bakal menjadi kenyataan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Nilai, Negeri Sembilan
30 Oktober 2021