Jata

KENYATAAN MEDIA
R&D LEMBAGA GETAH MALAYSIA BANTU TINGKATKAN
UNJURAN EKSPORT PRODUK PERKAYUAN NEGARA


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng hari ini mengadakan lawatan kerja ke stesen penyelidikan Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Kota Tinggi dan Penawar, Johor Darul Takzim.


2. Pada lawatan kerja ini, beliau melihat sendiri operasi Kompleks Integrasi Pemprosesan Getah (IPC) yang berperanan meningkatkan industri getah melalui pembangunan teknologi pemprosesan produkproduk bahan termaju dan mesra alam berasaskan getah, selain diberikan taklimat berkenaan penyelidikan LGM berkaitan klon getah, pokok transgenik dan teknologi penorehan.


3. Sementara di Penawar, YB Timbalan Menteri melawat ladang bertujuan melihat penyelidikan ladang hutan getah yang dijalankan oleh LGM. Penyelidikan berkenaan khusus untuk klon lateks balak dan klon balak ini mampu membantu meningkatkan produktiviti serta eksport produk kayu-kayan.

4. Ladang hutan getah disasarkan akan menjadi alternatif bekalan bahan mentah dalam bentuk kayu getah bermutu dalam usaha mengembangkan lagi potensi industri perabot negara.


5. Kementerian berharap dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh LGM ini, berupaya meningkatkan pengeluaran serta hasil getah negara di samping dapat menokok pendapatan negara melalui eksport perkayuan negara khususnya perabot.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Penawar, Johor Darul Takzim
1 November 2021