KENYATAAN MEDIA
PENGARAH EKSEKUTIF KOMUNITI LADA ANTARABANGSA DI JAKARTA, INDONESIA AKAN DITERAJUI MALAYSIA MENGGANTIKAN VIETNAM
1. Malaysia akan mengambil alih giliran jawatan Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia daripada Vietnam untuk tempoh selama tiga tahun mulai 5 Mei 2021. Keputusan tersebut dipersetujui oleh semua Ketua Perwakilan IPC negara anggota. Malaysia menyertai IPC pada 22 Mac 1972.
2. Puan Firna Azura Ekaputri Marzuki, pegawai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah dipilih mewakili Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC yang baharu secara pinjaman untuk tempoh berkenaan. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 2008 sebelum menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha di KPPK. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dan Ijazah Sarjana
Pentadbiran Perniagaan Korporat dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
3. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Firna Azura Ekaputri dan berharap beliau dapat melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi serta amanah demi negara khususnya, bersama negara-negara pengeluar lada di seluruh dunia untuk memajukan sektor komoditi berkenaan.
4. IPC telah ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dan merupakan sebuah organisasi antara Kerajaan dalam kalangan negara-negara pengeluar lada dunia. IPC yang berpusat di Jakarta, Indonesia diterajui oleh Pengarah Eksekutif dengan dianggotai lima negara iaitu India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam manakala Papua New Guinea dan Filipina merupakan ahli-ahli bersekutu.
5. Pelantikan wakil dari Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC diharap dapat memberi manfaat dalam memperkasakan industri lada negara selain memperkukuhkan hubungan kepakaran dan penyelidikan yang terjalin sejak tahun 1972. Selain itu, ia juga demi memastikan kepentingan industri lada negara terus terpelihara bersama dengan negara-negara anggota IPC yang lain.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
29 April 2021