INFO ARKIB ELEKTRONIK

MENTERI Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam Misi Ekonomi Produk Agrikomoditi Malaysia ke India pada 17 hingga 18 Julai 2024 di New Delhi, India.

Misi ini bertujuan bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala serta meneroka peluang peningkatan kerjasama dan kolaborasi baharu antara Malaysia dengan India terutamanya dalam sektor Agrikomoditi.

Johari bersama anggota delegasi dijadual akan mengadakan Kunjungan Hormat kepada Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi membincangkan isu-isu dan cadangan kerjasama perdagangan sektor Agrikomoditi kedua-dua negara.

Selain itu, beliau akan mengadakan mengadakan sesi libat urus bersama pemain-pemain industri minyak sayuran India serta bakal menyampaikan ucaptama dalam India Vegetable Oil Producers’ Association (IVPA) Global Roundtable 3.0 anjuran India Vegetable Oil Producers’ Association (IVPA) yang turut dihadiri barisan kenamaan dan pemimpin industri minyak sayuran India.

India merupakan destinasi eksport terbesar bagi kelapa sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia, dengan nilai eksport berjumlah RM13.28 bilion atau 13 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sawit negara di pasaran antarabangsa pada tahun 2023.

Kementerian berharap agar pelaksanaan misi ini dapat merancakkan lagi perkembangan sektor Agrikomoditi negara, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan erat antara Malaysia dan India. – SM

 

https://suaramerdeka.com.my/misi-ekonomi-produk-agrikomoditi-kpk-ke-india-perkukuh-hubungan-dua-hala/#google_vignette

 

Sumber : Suara Merdeka

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sejumlah 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi ini sudah dikomersialkan dan diguna pakai oleh industri dan usahawan tempatan, kata MPOB sempena dengan kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke pusat penyelidikan dan pembangunannya (R&D) di Bangi, semalam.

Semasa lawatan itu, Johari berkata, sektor swasta seharusnya terbabit dalam pengkomersialan teknologi seperti memperhalusinya agar ia dapat digunakan industri.

"Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan ujian percubaan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, teknologi MPOB dalam menghasilkan formulasi makanan seperti analog keju mozzarella berasaskan sawit memberikan prospek baik kerana produk itu boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

"Keju mozzarella berasaskan sawit itu dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

"Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza," katanya.

Selain itu, Johari juga berharap teknologi MPOB yang berjaya menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging dapat mengurangkan import makanan haiwan sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk terbabit.

Menurut MPOB, teknologi itu yang menggunakan produk sawit menawarkan alternatif kepada bahan mentah dan dapat mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi.

"Ujian percubaan komersial produk berkenaan mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk berkaitan.

"Formulasi pelet makanan ini yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien," katanya.

Sementara itu, Johari dan delegasinya juga melawat kilang rintis majerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan galeri sawit MPOB.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060748/mpob-bangun-714-teknologi-baharu-industri-minyak-sawit

 

Sumber : Harian Metro

PETALING JAYA – Teknologi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi formulasi makanan berjaya menghasilkan analog keju mozzarella berasaskan sawit sekali gus produk baik yang boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, analog keju mozzarella tersebut dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

“Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut sempena lawatan beliau ke fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB di Bangi semalam, termasuk Loji Rintis Marjerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan Galeri Sawit MPOB.

Selain analog mozzarella tersebut, beliau turut menyentuh kejayaan MPOB menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging yang diharap dapat mengurangkan import makanan haiwan Malaysia sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk itu.

“Teknologi yang menggunakan produk sawit itu menawarkan alternatif kepada bahan mentah yang mampu mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi. Percubaan komersial produk tersebut mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk tersebut.

“Formulasi pelet makanan ini yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan buah kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien,” ujarnya.

Sehubungan itu, Johari berkata, pihak swasta harus terlibat dalam pengkomersialan teknologi tersebut seperti memperhalusinya agar teknologi tersebut dapat digunakan oleh industri.

“Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV dan Sime Darby untuk bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan percubaan,” katanya.

Pada taklimat semalam, Johari dan delegasinya diberi taklimat mengenai Penyelidikan dan Pengkomersialan Teknologi MPOB oleh Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Sehingga kini, MPOB berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sebanyak 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi tersebut telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri dan usahawan tempatan. – KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2024/02/14/mpob-hasilkan-keju-mozzarella-berasaskan-sawit-tanpa-kolesterol/#google_vignette

 

Sumber : Kosmo

KUALA LUMPUR – Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) disaran untuk memberi perhatian kepada tiga perkara dalam memastikan majlis tersebut dapat terus memberi nilai tambah kepada industri sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, MSPO perlu bersifat dinamik dan bergerak seiring dengan keutamaan dunia yang kian berubah.

Menurut beliau, MSPO perlu bersifat dinamik dan bergerak seiring dengan keutamaan dunia yang kian berubah.

“Kementerian akan memastikan skim pensijilan MSPO sentiasa ditambah baik supaya dapat kekal relevan demi memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa, terutamanya berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penebangan hutan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun ke-10 MPSO, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Perancangan Strategik dan Pengurusan kementerian, Datuk Abdul Hadi Omar.

Pada majlis sama, Johari turut mengumumkan penjenamaan semula Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) sebagai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Pertukaran nama MPOCC kepada MSPO merupakan salah satu inisiatif pemantapan penjenamaan semula MSPO sebagai sebuah skim pensijilan minyak sawit yang berkualiti dan terbaik di dunia.

MSPO juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat  institusi pengajian tinggi iaitu IIUM Higher Education Sdn. Bhd., Persatuan Regenerasi dan Kelestarian Alam, Kolej FELCRA dan City University.

Seramai 10 Duta Belia MSPO dari setiap institusi telah dipilih bagi mempromosi dan memberi kesedaran kepada pelajar lain berkenaan pensijilan MSPO.

Mengulas lanjut, Johari memberitahu, usaha-usaha mempromosi MSPO akan disempurnakan lagi dengan pelancaran Pelan Tindakan Strategi MSPO pada tahun ini sehingga 2026 yang mengutamakan 57 inisiatif strategik.

Menurutnya, ia merangkumi tiga strategi utama seperti membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai, ,memastikan pematuhan pemain industri dan memberi nilai tambah kepada pensijilan MSPO serta memperluaskan pengiktirafan dan penerimaan MSPO.

“Baru-baru ini, di dalam perbincangan dua hala antara pihak Kementerian dan Kesatuan Eropah (EU) berkenaan isu European Union Deforestation-free Regulation (EUDR) dan MSPO, kita telah mendapat respon yang positif berkaitan usaha Malaysia untuk mengurangkan kadar penebangan hutan.

“Pihak Kesatuan Eropah (EU) juga memberi pengiktirafan yang bermakna atas komitmen Malaysia terhadap pengeluaran produk komoditi yang mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/2024/05/13/mpocc-kini-dikenali-mpso-disaran-tambah-nilai-industri-sawit-negara/#google_vignette

 

Sumber : Malaysia Gazette

PETALING JAYA: Komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan menjadi antara perkara yang akan ditekankan dalam Forum Minyak Sawit Malaysia Mesir 2024 (MPOF 2024).

Menurut Kementerian Peladangan dan Komoditi, Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir dan Turkiye bermula esok hingga 1 Jun ini bagi lawatan kerja selain merasmikan forum terbabit. 

Kata kenyataan itu, acara tahunan anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang diadakan di Kaherah itu bertujuan meneroka potensi pertumbuhan minyak sawit di rantau Afrika Utara.

“Semasa forum tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan acara tersebut pada 28 Mei. Ucapan beliau akan menyerlahkan peningkatan permintaan global bagi minyak masak dan terbitannya, serta komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan. 

“Semasa di Kaherah, Menteri akan bertemu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Mesir dan Menteri Bekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara serta pemimpin perniagaan dalam industri minyak sawit,” kata kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan, Malaysia dan Turkiye juga akan mengukuhkan kerjasama dan mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak sawit antara kedua-dua negara. 

Jelasnya, perkara itu menerusi lawatan kerja ke Turkiye di mana Johari dijadualkan bertemu Menteri Perdagangan Turkiye pada 31 Mei ini. 

“Turkiye destinasi penting untuk eksport minyak sawit Malaysia, menjadikan mesyuarat ini amat penting bagi Malaysia. 

“Semasa lawatan itu, beliau juga akan melibatkan diri dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan termasuk wakil perniagaan daripada industri minyak sawit, mempergiatkan lagi hubungan perniagaan antara kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/05/mpof-2024-medan-malaysia-nyata-komitmen-minyak-sawit-mampan/

 

Sumber : Utusan