INFO ARKIB ELEKTRONIK

PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melabur sebanyak RM37 juta dalam Mizou Holdings Sdn Bhd (Mizou), sebuah syarikat bumiputera yang berfokus kepada pembangunan jentera perindustrian bagi industri minyak sawit.

Ini menandakan pelaburan kedua bagi Ekuinas di bawah Dana Asas yang berjumlah RM100 juta, yang memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat peringkat pertengahan dengan pertumbuhan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, melalui pelaburan tersebut, Ekuinas berpeluang membangunkan sektor perladangan bersama Mizou.

Katanya, syarikat tersebut menawarkan penyelesaian inovatif khususnya bagi industri minyak sawit huluan dengan peluang untuk berkembang dan menyokong bidang pertanian lain.

“Kami amat menghargai visi, keupayaan dan kesungguhan para pengasas syarikat untuk meningkatkan produktiviti rantaian nilai ladang kelapa sawit huluan dan kami bangga dapat turut serta di dalam usaha ini bersama Mizou.

“Permintaan pasaran semakin kukuh untuk penjenteraan dalam industri tempatan dan serantau memandangkan keupayaan dan impak jentera-jentera dalam meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengeluaran.

“Kejayaan Mizou mengkomersialkan traktor-traktor ciptaan mereka dan sokongan daripada syarikat-syarikat peneraju dalam industri perladangan kelapa sawit mencerminkan kemampanan produk dan juga perniagaan Mizou dan ini mengunjurkan prospek masa depan yang cerah bagi Mizou,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mizou, Shamshuri Abdul Majid berkata, pelaburan ini akan membolehkan syarikat mengukuhkan kedudukan sebagai peserta yang mengkhusus dalam tawaran jentera perladangan kelapa sawit yang sesuai untuk semua permukaan tanah atau ladang kelapa sawit.

“Keperluan sektor minyak sawit sentiasa berubah, kami mengambil peluang dalam peralihan atau trend ke arah penjenteraan dan peralatan mekanikal yang diperlukan oleh peserta perladangan tempatan dan asing,” ujarnya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/ekonomi/2024/05/ekuinas-labur-rm37-juta-dalam-pemaju-jentera-industri-minyak-sawit/

 

Sumber : Utusan

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempunyai peranan penting dalam memastikan kelestarian industri sawit Malaysia supaya dapat mengelakkan nasib seperti yang menimpa sektor getah negara dan tidak berulang, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata menerusi pemilikan tanah perladangan terbesar seluas 800,000 hektar di Malaysia, Felda perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatannya dengan meningkatkan pengeluaran dan menumpukan sektor hiliran.

"Cuba bayangkan, jika kita tidak terlibat dalam industi hiliran selama 15 hingga 30 tahun akan datang.

Saya tidak mahu melihat industri sawit yang dikendalikan oleh Felda ini menjadi senasib seperti getah.

"Pada satu ketika, kita ialah pengeluar getah terbesar di dalam dunia. Hari ini, kita menjadi pengeluar produk getah yang utama tetapi kita mengimport getah asli dari Vietnam dan Thailand kerana perlu memenuhi permintaan industri dan jika tidak (import), kita tidak cukup getah, tetapi yang anehnya, kita ada 420,000 hektar (penanaman) pokok getah yang melibatkan 290,000 pekebun kecil," katanya dalam ucaptama di Simposium Felda 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata pada 2013, Malaysia mengeluarkan 19.5 juta tan sawit manakala Indonesia menghasilkan 26 juta tan namun dalam tempoh 10 tahun, pengeluaran negara menurun kepada 18.5 juta pada 2023 dan negara jiran itu terus meningkatkan hasil kepada 46.5 juta.

Johari berkata Indonesia menggunakan separuh hasil sawitnya untuk pengeluaran biodiesel manakala Malaysia mengeksport 15 juta tan ke pasaran dunia.

Justeru, beliau menekankan amat penting untuk Felda menggembleng aset tanah dan infrastruktur lengkap miliknya dengan sebaik mungkin.

Felda digesa untuk meningkatkan hasil tandan buah segar (TBS) ke tahap lebih tinggi berbanding 16.49 tan sehektar pada 2023, memandangkan para peserta sawit utama negara menghasilkan anggaran 20 tan TBS sehektar, katanya.

Beliau memberi contoh, jika Felda dapat menghasilkan 18 tan TBS sehektar, hasil keseluruhan akan meningkat kepada 14.4 juta TBS dan agensi itu boleh menjadi pengeluar terbesar dengan 2.8 juta tan minyak sawit mentah (MSM).

"Bayangkan, jika harga sawit RM4,000 satu tan dan anggaran kos adalah RM3,000, kita untung RM1,000. Secara keseluruhan, kita akan untung RM2.8 bilion.

"Jadi, kita perlu belajar daripada kejayaan Felda dahulu dan kita susun strategi untuk 20 hingga 30 tahun akan datang, saya percaya jika kita pandai mengolah tanah 800,000 hektar milik Felda ini, satu hari nanti generasi yang kelima atau seterusnya akan berbangga menjadi sebahagian daripada Felda," katanya.

Johari juga memberi bayangan bahawa Felda dapat menjadikan para peneroka sebagai pengendali penuh aset mereka sehinggalah kepada pengeluaran hiliran dengan menyusun semula tanah rancangan itu menjadi kluster yang besar.

"Jadi, kelapa sawit ini sangat penting kepada negara. Jika Felda mahu menjalankan tanggungjawab sosial, sektor ini hanya mampan jika dapat membuat keuntungan yang besar. Tidak ada (syarikat) yang boleh membuat sumbangan sosial untuk masyarakat kalau tidak menjana pendapatan," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/02/1058186/elak-industri-sawit-terima-nasib-seperti-getah

Sumber : Harian Metro

Putrajaya: Empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pembelian minyak sawit mentah tidak berlesen di Sandakan, Sabah, Isnin lalu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mereka ditahan menerusi serbuan di sebuah premis yang menjalankan perniagaan memproses minyak sawit di Batu 14, Jalan Labuk, Sandakan.

Menurut MCBA, dalam serbuan di bawah Op Taring Palma yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu, pihaknya turut merampas minyak sawit mentah serta peralatan bernilai RM6.4 juta.

"Siasatan awal mendapati syarikat berlesen itu membuat pembelian minyak sawit mentah daripada pihak tidak berlesen pada harga lebih rendah.

"Antara rampasan adalah sebuah lori muatan tiga tan, tujuh buah tangki dengan isipadu 1,000 liter, empat unit pam elektrik dan hos, empat buah tong dram, lima unit tangki skid berkapasiti 40,000 liter, lima tangki simpanan berkapasiti 1,000 tan dan anggaran 775.1 tan minyak sawit mentah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut kesemua yang ditahan diserahkan kepada MPOB Sandakan untuk tindakan lanjut.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/06/1099927/empat-ditahan-terbabit-pembelian-minyak-sawit-tidak-berlesen#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

 

Kuching: Industri sawit negara dijangka menerima khabar positif berhubung Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) daripada Kesatuan Eropah (EU) tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau dimaklumkan EU dijangka mengiktiraf MSPO sebagai salah satu proses dalam pengauditan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menurutnya, ini bermakna Malaysia kini dalam landasan tepat untuk mendapatkan pengiktirafan MSPO dan apabila dicapai ia akan membuka peluang yang baik kepada pekebun kecil sawit.

"Saya dimaklumkan mengenainya oleh delegasi EU yang menghadiri sesi sumbang saran (brainstorming) di Kuching hari ini.

"Mereka kata, peluang MSPO untuk diiktiraf di dalam EUDR amat cerah dan ia akan diumumkan secara rasmi oleh pemimpin EU tahun ini, mungkin sebelum bulan Jun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Parlimen Petra Jaya Bagi Tahun 2024 di sini, hari ini.

Mei tahun lalu, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia bersemuka dengan pemimpin negara anggota EU di Brussel, Belgium, untuk memastikan produk sawit yang dieksport ke EU tidak disekat apabila EUDR dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, ketika ini EU sedang dalam proses pengauditan EUDR dan salah satu daripada yang dinilai ialah prosedur Malaysia dalam memastikan kelestarian industri sawit.

"Saya kata (dalam pertemuan di Belgium) Malaysia ada MSPO dan EU perlu mengiktirafnya supaya mereka tidak perlu melalui proses pengauditan kepada setiap produkatau syarikat (Malaysia) yang mengeluarkan produk bukan sahaja yang berasaskan sawit tetapi juga produk koko dan balak, memadai dengan pengesahan MSPO," katanya.

Mengenai sesi sumbang saran EU di Kuching yang dihadiri lebih 100 syarikat Eropah, Fadillah berkata, ia diadakan selama lima hari bagi melihat potensi pelaburan di Sarawak.

"Sepanjang berada di Kuching, mereka akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

"Hari ini mereka berjumpa dengan saya untuk melaporkan hasil sesi sumbang saran yang mereka jalankan.

"Mereka melihat bahawa Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang dibangunkan kerajaan Sarawak sama ada dalam konteks ekonomi digital dan tenaga hijau adalah satu peluang untuk EU melabur dan mereka amat berminat... itu yang mereka maklumkan kepada saya," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1061667/eu-dijangka-iktiraf-minyak-sawit-mampan-malaysia

 

Sumber : Harian Metro

KUCHING: Industri sawit negara dijangka menerima khabar positif berhubung Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) daripada Kesatuan Eropah (EU) dalam tempoh terdekat, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.Ads by

Timbalan Perdana Menteri berkata, EU dijangka mengiktiraf MSPO sebagai antara proses dalam pengauditan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Katanya, ia bermakna Malaysia kini dalam landasan tepat mendapatkan pengiktirafan MSPO dan membuka peluang baik kepada pekebun kecil sawit.

"Saya dimaklumkan mengenainya oleh delegasi EU yang menghadiri sesi sumbang saran di Kuching, hari ini.

"Mereka memberitahu peluang MSPO diiktiraf di EUDR amat cerah dan akan diumumkan secara rasmi oleh pemimpin EU tahun ini, mungkin sebelum Jun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Parlimen Petra Jaya Bagi 2024 di Dewan Kampung Malaysia Jaya di sini, hari ini.

Mei tahun lalu, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia bersemuka dengan pemimpin negara anggota EU di Brussels, Belgium, untuk memastikan produk sawit yang dieksport ke EU tidak disekat apabila EUDR dilaksanakan.

Beliau berkata, EU dalam proses pengauditan EUDR dan antara yang dinilai ialah prosedur Malaysia ke arah memastikan kelestarian industri sawit.

"Saya kata (dalam pertemuan di Belgium) Malaysia ada MSPO dan EU perlu mengiktirafnya supaya mereka tidak perlu melalui proses pengauditan setiap produk atau syarikat (Malaysia) yang mengeluarkan produk.

"Ia bukan sahaja yang berasaskan sawit tetapi juga produk koko dan balak, memadai dengan pengesahan MSPO," katanya.

Mengenai sesi sumbang saran EU di Kuching yang dihadiri lebih 100 syarikat Eropah, Fadillah berkata, ia diadakan selama lima hari bagi melihat potensi pelaburan di Sarawak.

Sepanjang berada di Kuching, katanya, mereka akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

"Hari ini mereka berjumpa dengan saya untuk melaporkan hasil sesi sumbang saran.

"Mereka melihat Strategi Pembangunan pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dibangunkan kerajaan Sarawak dalam konteks ekonomi digital dan tenaga hijau sebagai peluang untuk EU melabur.

"Mereka maklumkan amat berminat untuk bekerjasama," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1213667/eu-dijangka-iktiraf-persijilan-sawit-malaysia

 

Sumber : Berita Harian