INFO ARKIB ELEKTRONIK

KENYATAAN MEDIA
PENUKARAN NAMA RASMI DAN AKRONIM KEMENTERIAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI


Selaras dengan pengumuman pembentukan kabinet oleh YAB Perdana Menteri pada 3 Disember 2022, nama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah dijenamakan
kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi atau nama bahasa Inggerisnya, Ministry of Plantation and Commodities. Penggunaan akronim bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi ialah KPK.


Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bertanggungjawab terhadap sektor agrikomoditi dan menyelia keseluruhan rantaian nilai pengeluaran serta penggunaan daripada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran. Sektor ini telah berkembang melalui peringkat pengeluaran dan pengeksportan bahan mentah kepada penghasilan produk separa
proses, produk yang telah diproses dan produk akhir, seterusnya menjana lebih banyak produk bernilai tambah dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.


Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) merangkumi lapan komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf dan fiber berkaitan), biojisim dan biobahan api merupakan tonggak utama bagi meningkatkan ekonomi kitaran berasaskan agrikomoditi. Sektor agrikomoditi merupakan komponen penting dan antara pemacu ekonomi negara yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport, mewujudkan peluang pekerjaan dalam masa yang sama menjana pendapatan terutamanya kepada pekebun kecil.


Justeru sebagai usaha memajukan agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama, visi, misi dan fungsi Kementerian masih kekal bagi merealisasikan DAKN2030 dan memperluas kepelbagaian sektor agrikomoditi serta menjayakan agenda pembangunan ekonomi nasional.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 DISEMBER 2022



Label makanan secara umumnya memberi gambaran terhadap maklumat kandungan bahan sesuatu produk untuk rujukan pengguna seperti kandungan khasiat, cadangan hidangan, langkah penyajian dan sebagainya.

Namun, terdapat juga label-label yang digunakan sebagai taktik pemasaran licik pada produk-produk tertentu dalam pasaran dengan niat untuk mengelirukan pengguna.

SIARAN MEDIA
PERSIDANGAN KEBANGSAAN INDUSTRI KENAF 2022 (PKIK 2022)


PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Mad Zaidi bin Mohd Karli mewakili kementerian telah menyempurnakan Perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf 2022 (PKIK 2022) dengan tema “Kenaf Melestarikan Kehidupan” bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya.


Persidangan anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diadakan setiap dua tahun sekali dan ia merupakan platform perkongsian perkembangan mutakhir industri kenaf di Malaysia di samping menghebahkan maklumat dan memromosikan industri kenaf negara.

Persidangan tersebut melibatkan pelbagai program merangkumi pembentangan kertas kerja, pameran dan jualan pelbagai produk inovasi berasaskan kenaf oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta termasuk aktiviti pemadanan perniagaan yang turut diadakan bagi memberi peluang kepada industri untuk memperkembang perniagaan dan pasaran baharu.


Sebanyak sembilan (9) kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini merangkumi pelbagai segmen industri kenaf termasuklah kegunaan produk kenaf dalam pembinaan, perkayuan, biokomposit, pulpa, panel akustik dan sebagainya.


Selain itu, lapan (8) reruai pameran produk kenaf yang disertai oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta turut disediakan. Seramai 300 orang peserta telah menyertai persidangan ini secara fizikal dan 200 orang peserta lagi mengikuti persidangan secara maya terdiri daripada pegawai dan penggiat industri dari Agensi Kerajaan dan Swasta, Institusi Penyelidikan, Institusi Kewangan, Persatuan, Koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pekebun kecil dan individu yang berminat dalam industri ini.


Usaha berterusan digiatkan oleh kementerian melalui LKTN agar pelbagai inovasi dapat dihasilkan dan seterusnya meningkatkan keboleh pasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran berasaskan kenaf. Selain itu, KPK juga komited dalam memastikan permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.


Bersempena dengan PKIK 2022, tiga (3) pertukaran dokumen perjanjian dan persefahaman juga telah dimeterai iaitu:


i. Perjanjian Kerjasama antara LKTN dengan Agensi Nuklear Malaysia
(ANM) dalam Pembangunan Benih Mutasi Kenaf;
ii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan Universiti Putra Malaysia
(UPM) dalam Pembangunan Bahan Binaan Pengangkutan; dan
iii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan MERC Resources Sdn
Bhd (MRSB) dalam Pengeluaran Pulpa Kenaf.


Penganjuran PKIK 2022 merupakan inisiatif KPK bersama LKTN untuk memastikan industri kenaf terus diberi perhatian sewajarnya bagi memacu potensi pembangunan sektor komoditi kenaf secara progresif.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 DISEMBER 2022

Sumber : Berita Harian, Ms 3
24 Disember 2022

KUALA LUMPUR – Eksport industri kayu meningkat 3.4 peratus pada tahun 2021 kepada RM20.4 bilion, didorong oleh kedua-dua keluaran kayu perkilangan dan pertanian.

Jabatan Perangkaan berkata, eksport keluaran kayu perkilangan merangkumi 81.3 peratus daripada eksport industri perkayuan pada tahun 2021, dengan nilai RM16.6 bilion, manakala keluaran kayu pertanian meliputi 18.7 peratus atau RM3.8 bilion seperti yang dilaporkan dalam Malaysia Trade Statistics Review (MTSR).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sejak 32 tahun yang lalu, trend eksport produk industri perkayuan di Malaysia dilihat tidak menentu dan pernah memuncak pada tahun 2006 dengan nilai RM22.9 bilion.

Jepun adalah destinasi eksport utama bagi produk kayu Malaysia, menyumbang 30.1 peratus atau RM2.1 bilion pada tahun 2021.

Berlatarbelakangkan perkembangan industri pembuatan kayu, bagi memenuhi permintaan input perantaraan bagi subsektor ini, import keluaran kayu pertanian juga menunjukkan peningkatan trend. Import keluaran kayu pertanian meningkat secara purata pada 11.2 peratus setahun bagi tempoh 1990 hingga 2021.

Dari sudut import, nilai import produk kayu Malaysia adalah RM3.2 bilion pada tahun 2021 berbanding RM65.9 juta pada tahun 1990 dengan merekodkan peningkatan secara konsisten sepanjang tahun. Indonesia dan China merupakan negara asal utama bagi import produk kayu pada tahun 2021 dengan nilai masing-masing RM0.7 bilion dan RM0.6 bilion.

Beliau berkata, selaras dengan prestasi sektor pembuatan, industri perabot Malaysia turut merekodkan perkembangan pesat.

Nilai eksport produk perabot berjumlah RM1.6 bilion dan menyumbang 2.0 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 1990. Ia dilihat melonjak kepada RM16.6 bilion pada 2021 meskipun menunjukkan trend yang tidak menentu.

Purata kadar pertumbuhan tahunan produk ini antara tahun 1990 hingga 2021 adalah pada 7.9 peratus. Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, United Kingdom dan Australia merupakan lima negara destinasi utama dalam eksport perabot kayu Malaysia.

Selain itu, import produk perabot berjumlah RM5.7 bilion pada 2021 dengan China mendominasi sebagai negara asal utama perabot kayu lain sejak 2008. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2022/12/21/eksport-kayu-meningkat-tahun-lalu-kepada-rm16-6-bilion/
Sumber: Malaysia Gazette