BERITA UMUM 2023

PUTRAJAYA: Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan kementerian yang diterajuinya kini sudah teratur dan ditadbir dengan sempurna.

Bagaimanapun, katanya, tugasnya kini adalah meneruskan segala perancangan yang diatur dalam kementerian tersebut.

“Mereka telah melakukan kerja yang baik sebab bila saya tengok di laman web kementerian, semuanya sangat menyeluruh.

“Jadi, saya cuma nak mengukuhkan hubungan dengan pemain-pemain industri dalam sektor perladangan dan komoditi,” katanya ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KPK tengah hari tadi sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.

Beliau yang tiba kira-kira 1.10 tengah hari itu disambut timbalannya, Datuk Chan Foong Chin dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari sebelum menghadiri taklimat ringkas bersama pengurusan tertinggi KKM.

Johari antara lima bekas menteri yang dilantik semula dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Mengulas lanjut Johari berkata, beliau mengakui tanggungjawab untuk menerajui kementerian tersebut agak mencabar kerana situasi ekonomi semasa.

Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat secara berkala dengan semua industri dan pemegang taruh dalam masa terdekat bagi mendapatkan situasi menyeluruh industri perladangan dan komoditi negara.

Jelasnya lagi, KPK bukan sebuah kementerian yang menjana pendapatan negara sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara kepada industri.

“Kerajaan juga dapat tiga manfaat jika sektor perladangan dan komoditi diurus dengan baik termasuk perolehan cukai, peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/12/kementerian-perladangan-dan-komoditi-sudah-ditadbir-sempurna-sebelum-ini-johari/#google_vignette

 

Sumber : Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mula tugas sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu dengan melakukan sesi ‘clock-in’ di Putrajaya, jam 1.13 tengah hari tadi.

Naib Presiden UMNO itu kembali membuat penampilan selepas rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Johari Ghani mula tugas sebagai menteri

Beliau dilantik mengetuai portfolio baharu tersebut daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Johari memaklumkan beliau masih kekal sebagai Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) biarpun mempunyai jawatan dalam Kabinet.

“Insya-Allah, buat masa sekarang saya masih (terajui pasukan petugas itu),” katanya pada media selepas diminta mengulas kedudukan dalam jawatan kuasa 1MDB.

Turut hadir bagi sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi baharu iaitu Datuk Chan Foong Hin yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Pada masa sama, bekas Menteri Kewangan II itu turut mengulas tentang permohonan bagi timbang tara pelaksanaan perjanjian penyelesaian antara kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs).

 “Kita ada pertikaian sebab dia (Goldman) tidak memenuhi perjanjian penyelesaian yang telah ditandatangani pada tahun 2020.

“Kemudian apabila saya jadi pengerusi saya tengok saya cakap tidak, dia (Goldman) perlu bayar mengikut perjanjian yang kita buat.

“Tapi malangnya selepas empat kali kita bagi penangguhan kepada mereka, dia tidak masih tidak mahu bayar bayaran pertama bayaran iaitu AS$250 juta,” ujarnya.

Pada Oktober lalu, kumpulan pelaburan itu bertindak menyaman Kerajaan Malaysia di sebuah mahkamah di United Kingdom, susulan perselisihan faham berhubung penyelesaian yang dikaitkan dengan peranannya mengenai penyelesaian skandal 1MDB.

 

https://borakdaily.com/johari-ghani-mula-tugas-sebagai-menteri-kekal-terajui-pasukan-petugas-1mdb/#google_vignette

 

Sumber : Borak Daily

PETALING JAYA: Lebih banyak syarikat Malaysia perlu mengikuti dan menerima pakai rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), bagi memupuk kemampanan jangka panjang dan memberi kesan positif kepada alam sekitar dan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, dengan mengintegrasikan prinsip itu ke dalam strategi syarikat mereka, ia bukan sahaja berupaya memacu pertumbuhan dan keuntungan, malah menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan untuk manusia.

"Dalam era kemampanan itu merupakan sebagai satu usaha penting untuk perniagaan, mengekalkan piawaian yang teguh dan mempunyai kualiti yang tiada tandingan adalah sangat diutamakan," katanya pada Majlis Makan Malam Gala ke-55 Tomei Consolidated Bhd malam Rabu.

Beliau berkata, mengambil contoh kejayaan kumpulan Tomei yang menandakan komitmen Malaysia dalam memupuk persekitaran mesra perniagaan yang memberikan peluang setara untuk berjaya, tanpa mengira latar belakang atau keadaan seseorang.

"Di sebalik kejayaan perniagaan kumpulan Tomei, ia amat menggembirakan apabila dapat menyaksikan bagaimana mereka menjadi perintis yang menerima pakai rangka kerja ESG dalam industri pertukangan emas dan barang kemas. Inisiatif proaktif mereka untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara sememangnya patut dipuji.

"Dedikasi kumpulan Tomei terhadap kecemerlangan, integriti, dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab menjadi petunjuk kepada orang lain untuk dicontohi. Semoga ia menjadi pemangkin dan inspirasi untuk usahawan kita mencapai tahap baharu di peringkat global," katanya. - BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/syarikat-malaysia-perlu-ikuti-terima-pakai-rangka-kerja-esg-fadillah-447131

 

Sumber : Astro Awani

PUTRAJAYA: Perkembangan dan pembangunan industri perabot hijau berpotensi menjadikan industri itu sebagai 'the next trillion dollar business', kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, industri perabot hijau dapat meningkatkan industri perabot di Malaysia selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi hijau di negara ini.

Beliau berkata, pembuatan perabot hijau yang menggunakan bahan semula jadi tidak mengandungi bahan berbahaya dan tidak melepaskan gas berbahaya, berupaya mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Ini kerana penggunaan perabot adalah keperluan pada masa kini. Ia boleh menjadi punca pencemaran kepada alam sekitar jika tidak diurus dengan sempurna.

"Saya menyarankan dalam membangunkan (industri) perabot hijau, perkara itu perlulah dilihat secara holistik kerana setiap ekosistem penghasilan perabot menyumbang kepada penghasilan jejak karbon," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Simposium Perabot Hijau Kebangsaan 2023 di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Ismail Parlan.

Fadillah berkata, usaha FRIM mengiktiraf syarikat di Malaysia dengan pengiktirafan perabot hijau di bawah Skim Pensijilan Perabot Hijau FRIM mampu membawa impak positif kepada syarikat yang terbabit dalam industri perabot hijau.

Ini kerana usaha itu mampu meningkatkan kredibiliti dan daya saing syarikat seterusnya membantunya memasarkan produk perabot hijau di pasaran domestik dan antarabangsa, katanya.

Beliau berkata, eksport perabot kayu adalah penyumbang utama kepada keseluruhan eksport industri perkayuan negara, dengan mencatatkan nilai eksport sebanyak RM11.1 bilion daripada keseluruhan eksport industri perkayuan negara iaitu RM25.2 bilion pada tahun lalu.

"Produk perabot kayu negara mempunyai kualiti pembuatan yang tinggi dan rekaan menepati kehendak serta citarasa pengguna di peringkat global. Satu anjakan baharu diperlukan dalam segmen pembuatan perabot kayu untuk tingkatkan nilai eksport dalam pasaran," katanya.

Simposium Perabot Hijau Kebangsaan 2023 bertemakan 'Melestarikan Industri Ke Arah Ekonomi Kitaran' anjuran FRIM dengan kerjasama pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) disertai lebih 200 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, peserta industri dan pegawai penyelidik dalam bidang industri itu.– BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1179925/industri-perabot-hijau-berpotensi-jadi-next-trillion-dollar-business

 

Sumber : Berita Harian