Industri Ukiran Kayu Negara mempunyai nilai estetika tinggi dan berpotensi dikembangkan serta mam¬pu mencapai nilai pasaran tem¬patan yang dianggarkan antara RM150 juta hingga RM200 juta setahun.
Susulan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang menyediakan Pelan Strategi Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara untuk tempoh 2021-2030 bagi memartabatkan industri itu yang bakal menjadi kebanggaan negara pada masa hadapan.
KPPK dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelan tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti latihan dan kemahiran modal insan, promosi seni ukiran, keusahawanan dan penggunaan mesin serta peralatan, jelas kenyataan itu.
“Komponen ukiran juga boleh dimanfaatkan sebagai produk nilai tambah kepada produk lain terutamanya dalam pembuatan perabot, kapal mahupun produk panel,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, kombinasi perabot yang ditambah nilai dengan seni ukiran mampu memberi pulangan harga yang lebih baik kerana mempunyai identiti tersendiri, unik dan berpotensi untuk dimajukan.
Kenyataan itu turut memaklumkan pada masa ini, terdapat 500 usahawan ukiran kayu di seluruh negara termasuklah pengukir yang masih aktif beroperasi di beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Daerah Besut, Terengganu merupakan kawasan termasyhur bagi dua industri ukiran kayu negara dan ramai pengukir tersohor negara dalam industri ukiran kayu dilahirkan di daerah itu,” katanya.
Kenyataan itu juga memaklumkan KPPK berhasrat menjadikan Besut sebagai Hub Ukiran Kayu Negara yang mana pelbagai program berkaitan pembangunan seni ukiran akan dilaksanakan.
“Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir) juga akan mempromosi seni ukiran kayu negara di peringkat negeri dan nasional.
“Bagi meneruskan kelangsungan seni ukiran kayu sebagai warisan bangsa dan negara berkekalan, pembangunan industri ini adalah perlu supaya hasil seni ukiran dapat diteruskan dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara,” jelas kenyataan itu. – Bernama
https://www.bisnessinar.com/memartabatkan-industri-ukiran-kayu-negara/
Sumber: bisnesssinar.com/• NORSHAHZURA MAT ZUKI