KUALA LUMPUR, 22 April -- Malaysia tidak melihat pengeluaran minyak sawit sintetik oleh syarikat pemula niaga Amerika Syarikat (AS), C16 Biosciences, sebagai satu ancaman kepada rantaian bekalan minyak sawit tulen yang dihasilkan secara amalan pertanian terbaik dan piawaian kemampanan.
Hakikatnya, negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia ini bukan sahaja mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha itu kepada syarikat tersebut, cabang pelaburan Breakthrough Energy Ventures yang diterajui Bill Gates, malah sedia bekerjasama dengan mereka sekiranya ada keinginan.


“Wujud banyak kesukaran lain yang akan timbul dalam percubaan untuk meniru minyak sawit semula jadi.
“Contohnya, selok-belok yang rumit dan sukar berkaitan jenis triglyceride semula jadi yang berada pada molekul gliserol serta hadir dalam minyak sawit menerusi susunan berbagai-bagai yang sukar untuk ditiru sepenuhnya oleh teknologi semasa.”
Ini merupakan kenyataan yang terkandung dalam artikel yang ditulis Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr Kalyana Sundram kepada Euractiv, rangkaian media pan-Eropah bebas yang mengkhususkan dalam dasar Kesatuan Eropah.
Kedua-dua mereka bersetuju bahawa semula jadi dianggap menjadi satu-satunya pemegang paten bagi kejayaan perubahan ke atas jenis triglyceride molekul itu.
Projek minyak sawit sintetik C16 Biosciences menerima dana US$20 juta (US$1 = RM4.39) daripada pengasas bersama Microsoft Corporation itu.
Mohd Khairuddin dan Sundram berkata C16 Biosciences mungkin berjaya dalam menghasilkan molekul asid lemak rantaian lurus teras yang merupakan tulang belakang minyak sawit dan juga bagi semua minyak dan lelemak.
Bagaimanapun mereka bertanya sama ada itu sudah mencukupi, memandanghkan sains juga boleh menghasilkan molekul asid lemak rantaian karbon daripada pelbagai proses dan kaedah lain.
“Merujuk contoh lemak tepu dan tindak balas kolesterol darah manusia yang mana pakar lipid Amerika Syarikat menekankan idea bahawa asid stearik tepu adalah neutral kolesterol manakala asid palmitik yang dijumpai dalam minyak sawit adalah pertambahan kolesterol.
“Mereka meneruskan usaha itu dan mencipta satu tiruan, tri-stearik trigliceride tepu sepenuhnya melalui teknologi proses. Hakikatnya, sifat semula jadi dan metabolisme manusia tidak mungkin bertoleransi dengan terlalu banyak molekul seperti itu,” kata mereka.
Kedua-duanya berkata begitu juga dengan C16 Biosciences yang harus dipuji atas pemikiran luar daripada kelaziman, tetapi tidak semestinya bersetuju bahawa mereka akan menjana peluang global yang boleh mengehadkan penggunaan minyak sawit semula jadi.
“Jika mereka berjaya sekalipun, namun berdasarkan halangan besar terhadap teknologi sedemikian, impak mereka ke atas rantaian bekalan minyak sawit semula jadi adalah kecil. Gembar-gembur yang diciptakan menerusi media barat berkaitan ini seperti satu lagi usaha untuk menjejaskan industri minyak sawit.
“Sebagai sebuah negara, Malaysia menerajui keusahawanan saintifik dalam minyak sawit dengan beratus juta telah dilaburkan ke dalam program penyelidikan dan pembangunan selain kerap bekerjasama dengan beberapa institut penyelidikan terbaik dari seluruh dunia,” kata mereka.
Sebagai contoh, ahli sains Lembaga Minyak Sawit Malaysia berjaya dalam memetakan genom minyak sawit dan hasil itu diterbitkan dalam jurnal Nature (2013, 500, 335–339 https://doi.org/10.1038/nature12309).
“Ketika ini, apabila sumber global sangat terbatas, kami dengan penuh hormat ingin menyeru semua pihak supaya berusaha menjalinkan kerjasama bersama demi kebaikan manusia seluruhnya, dan tidak menggunakan peluang inovatif sebagai peluang bagi perbuatan ‘menikam belakang’ pengeluaran minyak sawit mampan dan rantaian bekalannya,” kata mereka.
-- BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1834730
Sumber: bernama.com/Oleh Nurul Hanis Izmir