Perbezaan ciri buah tandan segar klon CPS3 (atas) dengan DxP yang ditanam di Estet Sedenak milik Kulim - Foto ihsan MPOB

 

BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersama syarikat perladangan, Kulim (Malaysia) Bhd (Kulim) berjaya menghasilkan klon pokok sawit terbaharu, dikenali sebagai Clonal Palm Series 3 (CPS3).
CPS3 adalah klon sawit berkualiti yang berupaya meningkatkan produktiviti dan hasil buah tandan segar yang lebih tinggi.
Baka sawit CPS3 adalah antara siri bahan tanaman yang ditawarkan oleh MPOB kepada industri untuk penanaman secara komersial.


Bahan tanaman elit CPS3 diperkenalkan pada Seminar Pemindahan Teknologi dan Pameran MPOB 2020 pada Julai lalu.
Penyelidikan MPOB melalui biak baka dan teknologi kultur tisu sudah menghasilkan tiga siri bahan tanaman klon sawit berkualiti, termasuk yang terkini iaitu CPS3.
Ketua Pasukan Penyelidikan, Siti Rahmah Abdul Rahman, berkata penghasilan bahan tanaman CPS3 yang ditanam di ladang Kulim berupaya meningkatkan produktiviti dan hasil buah tandan segar yang lebih tinggi, berbanding bahan tanaman baka kacukan dura serta pisifera (DxP).
Siti Rahmah menjelaskan, pokok klon CPS3 mempunyai produktiviti yang tinggi dengan memaksimumkan hasil bagi setiap hektar.
Beliau berkata, klon CPS3 yang ditanam dengan kepadatan 136 pokok sehektar, menghasilkan 37.5 peratus minyak setandan (tan) dengan berat buah tandan segar (BTS) 221.7 kilogram bagi setiap pokok dalam tempoh setahun.
Katanya, nisbah minyak kepada tandan dan buah tandan segar klon CPS3 ini masing-masing adalah 21.8 peratus dan 7.6 peratus lebih tinggi berbanding pokok sawit (DxP) yang ditanam secara komersial di Malaysia, sementara hasil minyak sawit mentah pula adalah 30.7 peratus lebih tinggi berbanding DxP.
"CPS3 juga menghasilkan bilangan tandan yang ideal iaitu menghampiri 15 tandan setahun dan berat 15 kilogram setandan seperti yang disarankan oleh ahli biak baka sawit.
"Apa yang lebih menarik adalah, klon CPS3 berjaya merekodkan 11.3 tan minyak sehektar setahun berbanding 8.6 tan sehektar setahun bagi kacukan DxP," katanya dalam satu kenyataan.
Penyelidikan biak baka dan bioteknologi bertujuan menghasilkan benih sawit berkualiti untuk penanaman secara komersial di sektor peladangan dan pekebun kecil.
Penghasilan bahan tanaman berkualiti adalah antara strategi untuk menangani isu pengeluaran minyak sawit negara yang mendatar sekitar empat tan sehektar setahun secara purata.
Ciri utama buah sawit klon CPS3 adalah lapisan mesokarpa yang lebih tebal, iaitu 89.7 peratus berbanding 86.7 peratus pokok kacukan DxP.
Selain itu, buah sawit CPS3 mempunyai nisbah isirung kepada tandan yang lebih kecil, iaitu 2.8 peratus berbanding 4.3 peratus pokok kacukan DxP.
Siti Rahmah berkata, bahan tanaman klon unggul CPS3 sedia untuk dikomersialkan kepada pengusaha ladang sawit dan pengeluar bahan tanaman bagi membiakkan baka klon di makmal kultur tisu masing-masing.

MPOB, Kulim hasilkan klon sawit baharu CPS3 (bharian.com.my)
Sumber : Berita Harian Online