Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini terutamanya didorong oleh prospek pengeluaran yang lebih rendah pada minggu-minggu akan datang.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata stok MSM yang lebih rendah terus memacu harga lebih tinggi yang mungkin bertahan dalam jangka sederhana.
“Kami mengesan paras sokongan selanjutnya pada RM3,100 setan metrik, manakala paras rintangan adalah pada RM3,250 setan metrik,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata pasaran juga sedang mengambil petunjuk baharu menjelang pengumuman laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) esok.
“Laporan MPOB yang akan dikeluarkan esok dijangka memberi tumpuan kepada setakat mana tahap penurunan stok,” katanya.
Pada penutup, kontrak niaga hadapan MSM bagi November 2020 meningkat RM35 kepada RM3,440 setan metrik, Disember 2020 naik RM50 kepada RM3,402 setan metrik, Januari 2021 menambah RM46 kepada RM3,277 setan metrik sementara Februari 2021 menokok RM37 kepada RM3,132 setan metrik.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 45,336 lot daripada 71,229 lot pada Jumaat minggu lepas, sementara kepentingan terbuka jatuh kepada 251,418 kontrak daripada 275,289.
Harga MSM fizikal bagi Selatan November meningkat RM10 kepada RM3,460 setan metrik.
https://www.bernama.com/bm/pasaran/news.php?id=1899260
Sumber: Bernama
