Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 12 Mei -- Pengeluar sarung tangan getah, WRP Asia Pacific Sdn Bhd, yang hanya mengeluarkan lima peratus daripada keseluruhan kapasiti Malaysia, menjadi contoh yang baik bahawa saiz tidak penting, berikutan ia menyertai syarikat gergasi dalam industri untuk memenuhi permintaan global terhadap sarung tangan getah dalam memerangi pandemik COVID-19.
Malah, sehingga ini, tidak banyak yang diketahui mengenai WRP Asia, yang mempunyai Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Jepun sebagai pasaran utamanya.
Syarikat itu menjadi perhatian apabila AS, yang mempunyai jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi dengan 1.34 juta kes dan 80,397 kematian dicatatkan pada masa ini, menarik balik sekatan sebelum ini ke atas pengeluar sarung tangan itu yang didakwa menggunakan buruh paksa.
Bercakap kepada Bernama, Peguam Khas WRP Asia, Mathew Thomas Philip, berkata keputusan AS untuk menarik balik sekatan itu telah membolehkan syarikat memenuhi permintaan sarung tangan global dalam tempoh ini dan menyumbang dengan berkesan dalam melengkapkan barisan hadapan perubatan.
Sebagai sebahagian daripada peralatan perlindungan diri (PPE), sarung tangan getah merupakan komoditi yang amat diperlukan pada masa ini dengan permintaan global dianggarkan mencecah 300 bilion unit pada tahun ini, dan Malaysia dijangka mengeluarkan 225 bilion unit atau 65 peratus.
Pada tahun lepas, negara mengeksport 170 bilion unit sarung tangan getah bernilai RM17.3 bilion.
“Dengan sekatan oleh AS telah ditarik balik, kami kini menumpukan semua tenaga kami untuk memacu agenda kebertanggungjawaban dan ketelusan kami untuk membolehkan kami menyumbang dengan segera dan memberi impak kepada masyarakat dalam tempoh krisis ini,” katanya.
WRP Asia telah mengeluarkan 11 bilion sarung tangan setahun.
Dalam memenuhi lonjakan permintaan global, kapasitinya meningkat daripada kira-kira satu perempat pada masa ini kepada penuh menjelang akhir tahun supaya ia juga dapat menyumbang dengan ketara kepada jumlah pengeluaran sarung tangan getah Malaysia.
WRP Asia menggunakan sepenuhnya tiga kilang mereka membabitkan kesemua 69 barisan pengeluaran.
Menurut Thomas Philip, walaupun kuantiti pengeluaran syarikat itu agak kecil, pihaknya berbangga kerana mampu menghasilkan sarung tangan yang mematuhi piawaian kualiti antarabangsa yang ketat.
Selain sarung tangan getah, syarikat itu juga merupakan peneraju dunia bagi menghasilkan kateter belon lateks yang digunakan untuk memampatkan plak dalam arteri koronari tersumbat dan sarung tangan perlindungan radiasi.
Menurut laman web perubatan, kateter belon turut digunakan untuk mengembangkan sten semasa angioplasti.
Bagaimanapun, cabaran utamanya adalah untuk memulakan semula operasi dan seterusnya, beroperasi dengan kapasiti penuh secara berperingkat.
WRP Asia terpaksa menangani banyak isu terdahulu akibat pengurusan sebelum ini dan bagi mengatasi masalah itu pada masa akan datang, ia telah mewujudkan barisan lembaga pengarah dan eksekutif baharu untuk memastikan lebih ketelusan.
“Kami seterusnya akan memastikan pengaturan kepada semua pekerja termasuk menambah baik keadaan kerja dan kehidupan mereka,” katanya.
Selain mengeksport produk, WRP turut memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan di negara ini.
Syarikat itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk menangani peningkatan permintaan terhadap bekalan perubatan dan telah menyumbang lebih 600,000 sarung tangan pemeriksaan DERMAGRIP Nitrile Ultra L S dan pusat kesihatan yang ditetapkan untuk menguruskan saringan dan rawatan COVID-19.
Syarikat itu mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Susulan dunia kekal dibelenggu kebimbangan berkaitan COVID-19 tahun ini dan mungkin sehingga 2021, WRP Asia berkata permintaan terhadap sarung tangan getah akan terus wujud.
“WRP berharap dapat mengekalkan kapasiti pengeluaran maksimum dalam usaha memenuhi bahagian permintaan ini, seterusnya menjadi antara peneraju dalam pasaran sarung tangan dunia,” katanya.
WRP Asia awalnya ditubuhkan pada 1985 di bawah nama Wembley Rubber Products Sdn Bhd, terletak dalam daerah Sepang, Selangor dan memulakan operasi pada 1990 sebagai pembuat sarung tangan lateks dan kateter belon urologi.
Kemudian pada 1998, nama syarikat ditukarkan kepada WRP Asia Pacific Sdn Bhd dengan slogan ‘Your Partner in Protection’.
Sejak permulaan perniagaan, operasinya telah berkembang daripada satu kilang pembuatan kini menjadi tiga kilang, menghasilkan pelbagai sarung tangan dengan bahan getah nitril, kloroprena, poliisoprena dan getah asli.
Jumlah tenaga kerja WRP Asia meningkat kepada lebih 4,000 pekerja setakat hari ini.
Malaysia bukan sahaja merupakan pasaran sarung tangan terbesar di Asia Tenggara, merangkumi 41.2 peratus daripada jumlah pasaran, malah pengeluar dan pengeksport getah asli kelima terbesar pada 2017, serta peneraju pembuatan dan eksport produk getah.
Pemegang kepentingan dalam industri getah meliputi pekebun kecil, pengilang dan syarikat multinasional. Daripada keseluruhan kawasan penanaman getah seluas 1.07 juta hektar, 7.21 peratus adalah milik syarikat perladangan.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1840818
Sumber: bernama.com