KUALA LUMPUR: Eksport getah asli Malaysia pada Februari meningkat sebanyak 13.1 peratus kepada 51,852 tan metrik berbanding 45,827 tan metrik pada Januari.
Bagaimanapun, pengeluaran getah asli pada Februari menurun 29.2 peratus kepada 46,881 tan metrik berbanding 66,232 tan metrik pada Januari.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan antara tahun ke tahun pada Februari 2020 menunjukkan pengeluaran getah asli turut menurun sebanyak 20.6 peratus.

Beliau berkata, China terus menjadi destinasi utama eskport getah asli negara sebanyak 47.1 peratus daripada keseluruhan eksport komoditi itu.
“Harga purata bagi lateks pekat pada Februari 2020 ialah RM4.56 sekilogram berbanding RM4.596 sekilogram pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata, harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menurun kepada RM5.4968 sekilogram berbanding RM5.9038 sekilogram pada Januari 2020.
Beliau berkata, pembuatan sarung tangan getah kekal mendominasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 31,684 tan metrik atau 76.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik (41,512 tan metrik) pada Februari 2020.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/04/677405/eksport-getah-asli-negara-meningkat
Sumber: bharian.com.my
Oleh Alzahrin Alias/zahrin [AT] bh [DOT] com [DOT] my