KOTA KINABALU, 13 April -- Pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini yang berdaftar dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) diminta untuk mengemas kini maklumat akaun bank menerusi pautan https://www.ligs.gov.my/semakan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata ini penting bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan sebarang pertolongan termasuk bantuan COVID-19 kepada golongan berkenaan.
Beliau berkata berdasarkan rekod pendaftaran dalam Sistem Pendaftaran Pekebun Kecil Negeri Sabah, kira-kira 40 peratus pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini tidak mempunyai maklumat akaun bank dalam sistem itu.


“Ini menyukarkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kewangan terutamanya pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Junz Wong berkata LIGS tidak melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk mendaftarkan pekebun kecil dan penoreh getah, justeru golongan itu perlu mengemas kini pendaftaran mereka di pautan berkenaan.
Pada 25 Mac, kerajaan Sabah meluluskan bantuan kewangan RM300 seorang kepada 44,032 pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini melalui Pakej Bantuan COVID-19 bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan ketika PKP, katanya.
-- BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1831597
Sumber: bernama.com