PADANG TERAP: Projek Kedah Rubber City (KRC) dijangka menarik pelaburan bernilai RM10 bilion menjelang 2030, sekali gus menyumbang sebanyak RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata KRC meliputi kawasan seluas lebih 500 hektar berpotensi mewujudkan sebanyak 14,500 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai peringkat kepakaran.
Katanya, pembangunan KRC membabitkan tujuh kluster diharapkan bakal meningkatkan permintaan getah mentah bagi pengeluaran produk bernilai tinggi.
“Sebenarnya Malaysia paling ke depan dalam soal penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor getah dan kita ada banyak institusi pendidikan yang menumpukan bahan mentah yang ada iaitu getah.
“Sekarang ini, kita mahu supaya semua penemuan R&D diterjemahkan dalam bentuk produk, maka kita adakan KRC bagi menggalakkan lebih banyak pelabur menempatkan kilang mereka.
“Kita ingin mereka menggunakan R&D yang mereka sendiri bawa atau yang kita ada untuk diaplikasikan dalam bentuk produk yang boleh dipasarkan di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan tapak projek KRC di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata projek terbabit dilengkapi dengan zon ekonomi sempadan menerusi pembangunan Kota Putra Border City.
“Pembinaan kerja-kerja asas dan infrastruktur dengan kos bernilai RM121 juta giat dijalankan dan dijangka siap pada Disember 2021.
“Fasa kedua yang bernilai RM277 juta akan bermula selepas mendapat kelulusan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata pihaknya sudah merangka program Pekebun Kecil Perusahaan Getah sebagai model rintis bagi meningkatkan pendapatan penoreh getah.
“Fasa pertama membabitkan seramai 150 peserta dan mereka akan mendapat insentif khusus supaya dapat mengeluarkan lateks dengan peningkatan pendapatan sebanyak 30 peratus,” katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/02/653227/kedah-rubber-city-dijangka-tarik-pelaburan-rm10-bilion
Sumber: bharian.com.my/ Oleh Siti Nur Mas Erah Amran/ maserah [DOT] amran [AT] bh [DOT] com [DOT] my
